TUMPAT,  Mangsa banjir di Kampung Kok Jerat, di sini, tidak melakukan sebarang persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir yang akan melanda negeri Kelantan sekali lagi.

Seorang mangsa banjir, Mohd Azizi Ahmad, 53, berkata dia dan isterinya sedia untuk berpindah jika banjir berlaku dan hanya bawa dokumen yang penting saja.

Katanya, selepas banjir melanda tahun lalu, kesemua peralatan rumahnya rosak dan ada yang dihanyutkan arus deras.

“Saya dengan isteri hanya tinggal sehelai sepinggang dan tidak ada apa yang penting untuk diselamatkan jika banjir berlaku lagi.

“Kami berdua juga masih tinggal di rumah yang sudah runtuh kerana rumah kekal yang dijanjikan kerajaan negeri masih belum siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Ujarnya, dia dan isterinya terpaksa tinggal di bahagian dapur rumahnya kerana keseluruhan rumahnya runtuh.

Katanya, mereka berdua terpaksa hidup dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbangkan keselamatan.

“Kami mengambil keputusan untuk tinggal di rumah tersebut kerana kami dijanjikan rumah kekal yang bakal disiapkan 3 bulan selepas banjir. Namun sudah 10 bulan berlalu, kami masih lagi belum mendapat berita bila akan berpindah.

“Kami dijanjikan rumah kekal di Kampung Belian, kira-kira lima kilometer dari sini dan saya berharap agar rumah berkenaan dapat disiapkan sebelum banjir melanda lagi sekali.

Beliau berkata, selepas banjir baru-baru ini, sudah tiga kali rumah yang didiaminya runtuh dan kali terakhir bahagian bumbung runtuh dan menimpa kakinya.
RUMAH 2
Mohammad Eh Abdullah, 64, menunjukkan gambar arwah Isterinya, Sapiah Musa, 90 yang 
meninggal dunia akibat serangan jantung selepas melihat rumah mereka runtuh dihanyutkan 
arus deras ketika banjir melanda kelantan tahun lalu. – Foto TRP/Mohd Zulhairie
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir Mohammad Eh Abdullah, 64, dia kini terpaksa menumpang di rumah anak saudaranya selepas rumahnya tidak selamat untuk didiami.

“Saya hanya seorang diri, isteri meninggal akibat serangan jantung selepas terkejut tengok keadaan rumah yang didiami lebih 50 tahun runtuh.

“Jadi, saya hanya tunggu untuk berpindah saja jika masih tinggal dirumah anak saudara ketika banjir melanda. Namun saya harap rumah kekal yang dijanjikan di Kampung Belian dapat disiapkan dalam masa terdekat ini.

“Saya juga sedih kerana selepas banjir, tidak menerima bantuan daripada pihak berwajib, bukan itu saja, bantuan wang ehsan juga tidak diperolehi sedangkan rumah saya runtuh dan terpaksa berpindah,” katanya.

Banjir tahun lepas adalah yang paling teruk dalam sejarah hingga menyebabkan lebih 100,000 orang di Kelantan terjejas. Ini termasuk 1,821 keluarga yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka dihanyutkan air banjir.