Perjalanan dari Balik Papan ke Kota Pekan Baru. - Foto Ridwan Azzuhri
KUALA LUMPUR, “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.”
Demikian yang boleh diungkapkan kepada
penduduk di sekitar Pulau Sumatera Selatan, Indonesia terutamanya di
kawasan Palembang, Riau, Pekan Baru, Duri, Bangkinang dan juga di
sekitar Medan, Padang dan Kalimantan.
Menurut seorang pekerja di pejabat
pemerintah Indonesia, Jabatan Komunikasi Daerah Pekan Baru, Ridwan
Azzuhri terdapat beberapa pejabat pemerintah yang ditutup kerana dua
minggu bermula Isnin lalu.
“Kebanyakan pekerja di sektor pemerintah
sudah diberikan cuti selama dua minggu, di peringkat sekolah sebulan
yang lalu telah diberikan cuti untuk murid-murid sekolah rendah sehingga
ke sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi The Rakyat post.
Tambah Ridwan, pihak pemerintah daerah
menasihatkan pekerja di sektor swasta untuk memberikan cuti dan penduduk
mengurangkan aktiviti luar rumah.
Indeks
Pencemaran Udara (API) di Pekan Baru mencatatkan kualiti udara
berbahaya mencecah kepada 335 sehingga memaksa Lapangan Terbang
Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II ditutup.
Bagi seorang pekerja bank di Kota Padang,
Rio Rahmanwan jarak pandangan di sebelah pagi sekitar jam 7.30 pagi
sehingga 8.30 pagi hanya 50 meter dan ia semakin pulih menjelang tengah
hari.
“Jarang penglihatan di kota Padang
sekitar 50 meter dan keadaan paling teruk adalah 20 meter, perkara ini
berlaku sekitar jam 7.30 sehingga tengah hari dan keadaan semakin baik,”
katanya.
Beliau berpendapat, pemerintah Indonesia
seharusnya mewujudkan satu badan bertindak untuk mencegah pembakaran
terbuka di sekitar Pulau Sumatera dan Kalimantan memandangkan situasi
jerebu sering berlaku setiap tahun.
“Seharusnya pemerintah Indonesia perlu
mewujudkan badan pencegahan bencana, sememangnya sudah wujud jabatan
yang mengendalikan soal kebajikan dan kesihatan penduduk tetapi hal
bencana alam seperti jerebu tidak begitu berkesan memandangkan kali ini
berada di peringkat paling serius dalam sejarah,” katanya.
Bagi sektor pelancongan di Medan
mengalami penyusutan yang mendadak, perkara ini diluahkan oleh seorang
pemandu pelancong, Juliana Julfikar.
Menurutnya, bilangan pelancong di kota
Medan mengalami penyusutan dan ini dapat dilihat dengan jelas melalui
kedatangan pelancong yang menggunakan perkhidmatannya.
“Insiden jerebu di Indonesia bukan yang
pertama kali berlaku, bahkan setiap tahun pasti ada kes pembakaran hutan
dan pembersihan ladang, satu faktor adalah disebabkan musim kemarau dan
kurangnya penerimaan hujan di Sumatera,” katanya.
Tambahnya, sebenarnya berlakunya jerebu
tidak boleh menyalahkan pihak pemerintah sahaja tetapi pemilik ladang
dan orang perseorangan yang tidak bertanggungjawab membuat pembakaran
secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang besar.
“Kita tidak boleh menyalahkan pemerintah sahaja, kerana sekarang musim kemarau dan ini juga yang menyebabkan kebakaran hutan.
“Kita perlu tahu hutan yang terbakar itu
adalah hutan bertanah gambut, biasanya hutan bertanah gambut ini mudah
terbakar bukan di lapisan atas tanah tetapi di bawah tanah,” katanya.
Beliau berharap agar pihak pemerintah
Indonesia segera menyelesaikan masalah jerebu ini kerana bukan hanya
mengganggu sektor pelancongan tetapi juga ekonomi secara keseluruhan.
“Sektor pelancongan adalah berkait rapat
dengan perniagaan di kota Medan kerana pelancong yang berkurangan akan
menjejaskan kegiatan ekonomi di kota pelancongan ini,” katanya.
Merujuk kepada indeks pencemaran udara
yang dikeluarkan Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika Stasiun
Pekan Baru, di Palembang mencatatkan tarif API mencecah 226, Jambi 226
dan Pekan Baru 335.
Pada pagi Isnin, terdapat 1.199 hotspot atau titik panas di Pulau Sumatera dikesan dan di Riau sahaja terdapat 6 titik panas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan