HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Oktober 2015

PAS desak sidang khas Parlimen bincang TPPA

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS hari ini lantang mendesak kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu pemeteraian Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Mat berkata, perbincangan mengenai isu ini perlu diasingkan daripada persidangan Dewan Rakyat kerana ia perlu diperincikan kepada semua ahli-ahli Parlimen.
 
"Perbincangan mengenai TPPA tidak seharusnya dicampuradukkan untuk sesi Parlimen akan datang kerana bimbang peruntukan masa yang tidak mencukupi untuk dibahaskan dengan lebih teliti. Pembentangan Bajet 2016 juga dijadualkan pada sidang Parlimen Oktober depan," katanya dalam satu kenyataan.
 
Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mahu kerajaan menjelaskan isi kandungan rundingan TPPA itu.
 
"Isi rundingan tersebut akan dibahaskan di setiap negara anggota untuk mendapatkan keputusan bersama sebelum disahkan secara hitam putih. 
 
"Perkara ini juga seringkali dibangkitkan oleh pemimpin parti-parti pembangkang yang melihat asas pertimbangan terhadap kebaikan kepada rakyat seharusnya didahulukan daripada segala-galanya dan ia memerlukan kepada perbincangan bersama," ujar Nik Abduh lagi.
 
Malaysia juga katanya perlu lebih berhati-hati terhadap permainan politik kuasa-kuasa besar.
 
"Isu-isu yang dibangkitkan tidak boleh hanya dinilai di atas kertas semata-mata, malah, ia juga perlu dinilai pada skop geopolitik dunia yang lebih besar," katanya.
 
Isu sidang khas Parlimen oleh Nik Abduh turut mendapat perhatian Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.
 
"Saya tidaklah menafikan keperluan untuk perkara ini dibawa ke Parlimen bahkan saya juga telah mendesaknya beberapa kali sebelum daripada ini.
 
"Saya menuntut semua ahli parlimen khususnya daripada BN yang mewakili kerajaan agar bersikap telus dan tulus dalam membahaskan isu ini nanti. Ia adalah teramat penting kerana melibatkan kedaulatan dan kesan jangka masa panjang terhadap negara dan rakyat Malaysia," katanya yang memetik laporan Malaysiakini.
 
Sementara itu, Parti Amanah Negara (Amanah) menerima baik Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang telah dipersetujui namun perkara itu perlu mendapat persetujuan parlimen sebelum ditandatangani.
 
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad di dalam kenyataannya menegaskan pihak kerajaan perlu menunaikan janji mereka bagi mengemukakan keseluruhan isi kandungan perjanjian.

"Semestinya Parti Amanah Negara tidak akan membantah sesuatu yang mendatangkan keuntungan kepada negara dan rakyat.

"Kami harap pihak Menteri akan menepati janji tersebut dengan menentukan masa yang cukup dan memadai, bukan sahaja  untuk Parlimen, tetapi juga masyarakat umum bagi meneliti dan membahasnya.

"Begitu juga kami harap bahawa semua teguran akan diambil berat dan diambil tindakan sewajarnya dan perbahasan tidak akan merupakan satu latihan ‘public relations’ semata-mata," jelasnya.

Pada Isnin, Malaysia dan 11 negara lain mencapai persetujuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, TPPA yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.
 
Selain dari Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam antara anggota yang terlibat dalam rundingan TPPA.
 
TPPA yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua 12 negara terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.
 
Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.
 
TPPA dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat.
 
 

Tiada ulasan: