SHAH ALAM: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (Fomca) menyambut baik jaminan kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa isu dan sensitiviti di dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Namun, timbalan presidennya Mohd Yusof Abdul Rahman menggesa keperluan untuk mendapatkan pandangan daripada golongan profesional bidang-bidang tertentu sebelum ia ditandatangani.
Ia penting untuk memelihara dan melindungi kepentingan rakyat dan negara.
"Kita berharap sebelum kerajaan menandatangani perjanjian TPPA itu, mereka mendapatkan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan.
"Katakanlah kerajaan menandatangi perjanjian itu, ia mesti berdasarkan pandangan dan persetujuan pihak-pihak berkepentingan. Dengan cara itu, tidak akan timbul isu be rbangkit seperti sebelum ini," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed memberi jaminan keprihatinan Malaysia dalam beberapa perkara sensitif di dalam TPPA itu nanti akan dipertimbangkan.
Malah butiran fleksibel akan diberikan kepada Malaysia, termasuk tempoh peralihan lebih panjang dan layanan berbeza bagi perkara yang menjadi sensitif kepada negara.
Mustafa juga menegaskan negara tidak akan patuh kepada perjanjian yang tidak mengikut perlembagaan atau dasar-dasar yang akan menjejaskan manfaat rakyat.
Fomca bagaimanapun melahirkan kebimbangan jika beberapa perkara dalam perjanjian itu yang membabitkan Malaysia diubah berdasarkan perkembangan semasa.
"Walaupun pihak berkaitan TPPA sudah menyelesaikannya dari segi perbincangan, namun kita masih tidak tahu apakah kandungan muktamadnya. Walaupun sebelum ini kita sudah dinyatakan tentang kandungan yang terdapat di dalam TPPA, namun ia bukan maklumat yang rasmi
"Kemungkinan sebahagiannya sudah ada pindaan berdasarkan perbincangan yang terbaru," ujar Yusof lagi.
Pada Isnin, Malaysia dan 11 negara lain mencapai persetujuan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas, TPPA yang akan menghapuskan sekatan dan memudahcarakan prosedur perdagangan di semua negara anggota.
Selain daripada Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam antara anggota yang terlibat dalam rundingan TPPA.
TPPA yang merangkumi perdagangan bebas melibatkan 40 peratus ekonomi dunia itu hanya akan berkuatkuasa selepas Parlimen kesemua 12 negara terbabit dalam rundingan itu meluluskannya.
Antara perkara yang dirundingkan di Atlanta adalah berkenaan industri automotif Jepun, tempoh minimum paten pengeluar ubatan dan sekatan pertanian.
TPPA dirunding selama lima tahun oleh Amerika Syarikat dan Jepun dengan sasaran untuk menghapuskan sekatan perdagangan dengan 10 negara lain yang terlibat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan