KUALA LUMPUR,  Keadaan jerebu yang melanda negara tidak menghalang peminat sukan ekstrem untuk terus mengunjungi Skytrex Adventure Park walaupun semua dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar.


Penolong Pegawai Operasi dan Pemasaran Skytrex Sdn Bhd, Razali Idris berkata, pengunjung dilihat langsung tidak terkesan dengan keadaan itu memandangkan tempahan sudah dibuat sebulan lebih awal.

Sejak beberapa minggu lalu katanya, hanya satu pembatalan dibuat oleh pihak sekolah tetapi pengunjung lain yang membuat tempahan tetap mahu meneruskan pengalaman dalam persekitaran mesra alam itu.

“Tempahan masih diterima pihak kami walaupun dalam keadaan jerebu teruk. Alhamdulillah, semua pengunjung tidak terkesan dengan jerebu,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Razali berkata, taman berkenaan mampu menampung jumlajh kunjungan 350 pelawat setiap hari.

Taman rekreasi yang terletak di Shah Alam terletak tiga kilometer dalam Taman Botani Negara, Shah Alam yang berkeluasan 817 hektar, manakala satu lagi taman terletak di Langkawi, Kedah.

Pengunjung boleh memilih tiga bentuk trek halangan dari tahap permulaan hingga ke tahap ekstrem dengan platform tertinggi antara 5 meter hingga 22 meter.

Ditanya sama ada pihaknya menerima aduan berhubung jerebu, Razali berkata kebanyak aduan yang diterima adalah berkenaan perkara lain.

“Kebanyakan aduan yang diterima adalah tentang lokasi taman ini di mana kebanyakan pengunjung datangnya dari Bangi dan Petaling Jaya,” katanya.

Peratusan tempahan yang menurun hanya pada trek halangan permulaan yang mana ia hanya sesuai untuk kanak-kanak.

“Mungkin ibu bapa bimbang akan keselamatan dan kesihatan anak-anak mereka,” katanya.