SHAH ALAM: PKR bukan 'retak menunggu belah' semata-mata kerana ada
pemimpin mempersoalkan penubuhan Pakatan Harapan tanpa PAS, kata Ahli
Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Beliau mengulas mesyuarat tergempar yang akan diadakan PKR pada Ahad
ini selepas seramai 25 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menandatangani
petisyen yang kononnya dikatakan sebagai tidak berpuas hati dengan
penubuhan Pakatan Harapan yang disifatkan sebagai tergesa-gesa.
"Tidak retak, kami masih kukuh dan berpadu. Parti Amanah Negara
(Amanah), PKR dan DAP bersatu. Cuma pandangan daripada segelintir pihak
yang mengatakan keperluan untuk ambil PAS di dalam Pakatan Harapan,
sedangkan mereka tidak mahu.
"Kita harus teruskan perjuangan, rakyat tidak boleh tunggu. Jadi pada
saya tidak timbul masalah seperti itu," katanya kepada Antarapos, hari
ini.
Abdullah Sani dalam pada itu menegaskan tujuan petisyen itu juga tidak
akan menjejaskan kerjasama Pakatan Harapan yang dibentuk pada 22
September lalu.
Terdahulu Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mengesahkan satu mesyuarat
tergempar akan diadakan selepas sekumpulan pro-PAS menggesa perbincangan
mengenai penubuhan gabungan baru pembangkang.
Malah kumpulan itu juga dikatakan kurang senang dengan tindakan Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan Pakatan Harapan yang
disifatkan sebagai tergesa-gesa.
Antara yang dikatakan menandatangani petisyen itu adalah Tian Chua,
Prof Dr. Shaharuddin, Zuraida Kamaruddin, Elizabeth Wong, Latheefa Koya,
Hee Loy Sian dan Shuhaimi Shafiei.
Tindakan kumpulan yang menghantar petisyen itu juga didakwa bekas Ketua
PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin sebagai cubaan menggulingkan
Presiden PKR itu.
Abdullah Sani bagaimanapun enggan melayan dakwaan Badrul Hisham, atau lebih dikenali sebagai Chegubard itu.
"Itu pandangan dia dan saya tidak tahu dari mana sumber dia perolehi.
Apa yang saya tahu adalah mesyuarat itu diadakan untuk penjelasan
mengenai Pakatan Harapan.
"Apa yang dikatakan oleh Chegubard itu, saya tidak percaya ia satu hal yang sihat (benar)," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan