Gambar hiasan.
KUALA LUMPUR - Ringgit mengukuh berbanding dolar AS hari ini, sesi
ketiga berturut-turut, dirangsang oleh kenaikan harga minyak mentah dan
data ekonomi domestik yang teguh, kata seorang peniaga.
Pada 5 petang, ringgit disebut harga 4.2150/2250 berbanding dolar AS daripada 4.3720/3770 pada Selasa.
Peniaga berkata kenaikan harga minyak meningkatkan keyakinan pelabur
terhadap ekonomi Malaysia yang mencerminkan pendapatan seberang laut.
"Prestasi eksport yang kukuh pada Ogos dengan lebihan dagangan
berkembang kepada RM10.19 bilion, turut menyumbang kepada momentum
kenaikan," kata peniaga itu kepada Bernama.
Bagi bulan dalam semakan, eksport Malaysia tumbuh 4.1 peratus kepada
RM66.53 bilion dan import susut 6.1 peratus kepada RM56.34 bilion.
Trend menaik pasaran tempatan juga seiring dengan pasaran serantau, disokong oleh kelemahan dolar AS, kata peniaga itu.
Ringgit turut mengukuh berbanding mata wang utama lain, terutama dolar
Singapura yang menyaksikan unit tempatan pada paras tertinggi dalam
tempoh lima minggu dengan merekodkan bawah paras 3.00.
Ia menokok kepada 2.9780/9861 berbanding dolar Singapura daripada
3.0653/0699 pada Selasa dan meningkat berbanding yen kepada 3.5105/3197
daripada 3.6318/6375.
Mata wang tempatan meningkat berbanding pound sterling kepada
6.4473/4651 daripada 6.6323/6408 dan mengukuh berbanding euro pada
4.7381/7497 berbanding 4.8993/8053 sebelum ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan