SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat disaran menyelesaikan masalah ‘rumah tangga’ sendiri dahulu sebelum mahu menjadi penyelesai masalah di antara DAP dan Parti Amanah Malaysia (Amanah) dengan PAS.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata PKR mula sedar bahawa mereka memerlukan sokongan yang kuat bagi membentuk sebuah kerajaan.
"Jika dilihat politik di Malaysia ini adalah seperti DNA dia mesti ada pakatan yang kuat antara beberapa parti yang sedia ada baru boleh membentuk kerajaan.
"Kalau nak harapkan PKR sahaja tidak boleh jadi. Mereka perlukan bantuan undi penuh daripada PAS, Amanah dan juga DAP," katanya.
Menurutnya, PKR mampu menstabilkan hubungan kedua-dua parti ini jika mereka mempunyai seorang pemimpin yang dihormati semua.
"Kelebihan Anwar Ibrahim itu sendiri yang menyatukan tiga parti ini iaitu PKR, PAS dengan DAP.
"Pakatan sebelum ini yang mana Anwar Ibrahim memahami cara arwah Tok Guru. Tok Guru faham cara Guan Eng tapi sekarang kepimpinan baru PAS dan PKR ini kekurangan kepimpinan yang dihormati.
"Keadaan menjadi sukar bagi melihat PKR diibaratkan ingin menggamkan PAS dan Amanah untuk bersama di dalam Pakatan Harapan," jelasnya.
Penubuhan gabungan baru pembangkang, Pakatan Harapan, diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada 22 September selepas mesyuarat meja bulat terdiri tiga parti pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan politik.
PAS juga menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan Amanah selepas tercetus pertelingkahan di antaranya dengan DAP manakala Amanah terdiri serpihan PAS dikenali sebagai kumpulan progresif.
Bagaimanapun, PAS mengekalkan perhubungannya dengan PKR, terutama dalam kerajaan pakatan di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan