Oleh Rodziah Ismail
Rakyat digesa untuk meneliti Belanjawan Negara sebagai satu amanah bertujuan untuk memberdaya (empowering) rakyat, menjana pertumbuhan ekonomi negara dan meratakan keadilan dan kesakmaan dalam pengagihan pendapatan dan khazanah negara.
Kemudahan akses rakyat terhadap informasi pasca pembentangan Belanjawan Negara hari ini wajar diutamakan. Perlu disediakan talian hotline atau perhubungan menerusi internet supaya rakyat boleh mendapatkan maklumat tepat mengenai makna dan implikasi Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri ke atas kehidupan rakyat jelata.
Dengan itu, pengetahuan dan kefahaman menyeluruh dan terperinci tentang Belanjawan Negara tidak hanya terbatas kepada golongan tertentu sahaja.
Dalam realiti masakini yang diselubungi berbagai ketidaktentuan suasana ekonomi – kejatuhan nilai ringgit yang belum reda, keruduman ekonomi global yang mengesani ekonomi Malaysia, isu 1MDB yang belum selesai, bebanan hutang negara yang menghampiri had 55% daripada GDP yang ditentukan perlembagaan Malaysia (RM582.8bil or 54.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar[GDP]), peningkatan kadar pengangguran (3.3%) dan kos sara hidup yang tinggi yang membebani rakyat – Belanjawan Negara 2016 dikehendaki mempamerkan kemampuan Perdana Menteri dan kabinetnya mengutamakan kepentingan rakyat secara langsung mengatasi yang lain-lainnya. Ia melibatkan kepentingan semasa, jangka pendek dan panjang.
Ia bukan sesuatu tidak boleh diutarakan atau mustahil dilaksanakan. Persoalannya ialah sama ada Kerajaan Malaysia berkehendak yang sama dengan kehendak rakyatnya.
Pengunggulan dalam pembinaan akhlak insan adalah asas keunggulan sesebuah masyarakat yang bertamadun. Peruntukan untuk tujuan tersebut menjadi imperatif. Tetapi usaha-usaha membina masyarakat Malaysia perlu dirobah dari cara sedia ada kepada yang benar-benar mengutamakan nilai dan menghasilkan warga negara yang unggul – yang mendengar, memahami, beramal dan bertindak serta menatijahkan keharmoniaan dan kecemerlangan dengan hasrat bersedia membantu orang lain dengan penuh kasih sayang dan passion.
Sememangnya, norma budaya rakyat adalah cerminan kepada pendidikan yang dicontohkan para pemimpin negara terhadap rakyatnya.
Pemimpin yang amanah, jujur, telus dan bersifat mendengar akan mendapati rakyat yang amanah, jujur, telus dan mendengari para pemimpin juga. Sebaliknya yang tidak amanah, curang, bersikap kediktatoran akan menemukan berbagai negativiti di kalangan masyarakat yang boleh menghancurkan diri dan golongan pemimpin serta negara.
Belanjawan Negara 2016 kali ini dikehendaki untuk mendepani reformasi pengolahan belanjawan yang menitikberatkan perkongsian di antara enterpreneurs dengan pekerja dan dalam masa yang sama boleh memenuhi keperluan sosial rakyat dan meminimakan kepentingan golongan yang sedia memenuhi, bahkan melebihi segala keperluan asas dan sosial mereka.
Punca jurang kedua golongan itu – yang berada dan kurang berada – ialah disebabkan jurang pendidikan dan kemahiran yang dimiliki. Kajian juga menunjukkan, kejayaan sebahagian golongan enterpreneurs di Malaysia ini ialah kerana budaya patronagenya – di mana jika dikenali dan diselesai golongan elit pemerintah, maka kontrak perniagaan akan mudah diperolehi dan boleh segera menjadi kaya-raya.
Sektor perdagangan pula perlulah mengutamakan peluang-peluang pekerjaan yang boleh diraih rakyat Malaysia, bukan pekerja asing.
Dasar kerajaan yang mengkhususkan free trade zone dan bebas cukai, sehingga untuk dua dekad, kepada syarikat-syarikat asing yang beroperasi adalah bertujuan untuk mengambil pekerja tempatan dan membina kemahiran mereka dalam jangka masa panjang. Kemasukan jutaan pekerja asing ke Malaysia mencerminkan kegagalan kerajaan Malaysia dalam mengurus sumber manusia negara ini.
Di samping itu, Malaysia tiada dasar yang jelas dan penguatkuasaan yang telus dan berkesan mengenai pengambilan pekerja warga asing, dalam masa yang sama memelihara hak dan kebajikan mereka sebagai pekerja dan insan.
Dalam konteks wanita, belanjawan yang meneliti keperluan wanita menerusi pendekatan outcome-based budgeting kerajaan Malaysia wajarlah tiada perbezaannya dengan kehendak yang ingin dicapai Belanjawan Responsif Gender – yang menekankan keperluan khusus wanita dan lelaki di setiap peringkat dan sektor.
Asasnya ialah pembudayaan kebebasan maklumat atau freedom of information bagi akses terhadap informasi berkaitan semua data mengikut pecahan seks atau sex-disaggregated data dalam pentadbiran negara dan sektor swasta. Ia sewajarnya dikuatkuasakan sebagai tuntutan dalam laporan-laporan semua jabatan dan agensi kerajaan dan agensi swasta yang releven.
Belanjawan 2016 akan dilihat sama ada memberi perhatian kepada sebelas golongan wanita yang dikenalpasti ini: Suri rumah, ibu tunggal, wanita muda, wanita orang asal, remaja perempuan, warga emas, wanita OKU, wanita bekerja & dalam sektor pekerjaan informal, pekerja ladang dan di luar bandar, wanita intelektual dan profesional.
Wanita merupakan hampir setengah daripada bilangan penduduk di Malaysia (49.3%).
Peratus itu adalah suatu penegasan terhadap keberdayaan wanita dalam mempengaruhi dan mengesani status ekonomi, sosial dan politik negara. Justeru itu, keseriusan dalam membangunkan wanita secara berstruktur, telus dan tulus adalah lebih diingini daripada hanya pemberian material dan latihan serta bimbingan yang one-off atau untuk hanya menghabiskan belanjawan sekadar untuk membuat program-program spontan atau yang berpada-pada sahaja.
Di antara ukuran kejayaan usaha latihan dan bimbingan serta program-program pemberdayaan wanita ialah kenaggotaan minimum 30% wanita dalam proses-proses pembuatan keputusan di peringkat legislatif – Parlimen, Dewan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
* Penulis merupakan Pengasas-Pemimpin Pertubuhan Inisiatif Pemberdayaan Wanita (Women’s Empowerment Initiative Society[WE Initiative]).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan