Lebih penting untuk kita amati ialah bukan sekadar
sama ada kerajaan menawarkan biasiswa atau tidak, tetapi audit
keberkesanan tajaan itu yang perlu diperhalusi.
Terdahulu, pengumuman tawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibekukan mulai tahun ini untuk permohonan pengajian dalam dan luar negara menimbulkan tindak balas yang bercampur.
Walaupun ramai yang kecewa, orang awam perlu memikirkan semula pemahaman keperluan menaja seramai mungkin anak pintar ke luar nagara.
Meniti sejarah, dahulunya kita mungkin perlu menaja seramai mungkin anak-anak pintar untuk program perubatan di UK, Ireland dan Eropah kerana hanya ada UKM, USM dan UM. Tetapi kini lebih sepuluh IPTA dan berpuluh-puluh IPTS mengambil sejumlah ribuan kemasukan baharu penuntut prasiswazah perubatan sehingga yang terbaharu, permohonan untuk pembukaan fakulti perubatan baharu dibekukan sementara.
Tidak cukup dengan itu, sesetengah program masih ditaja pengajiannya seperti bioteknologi dan kejuruteraan walaupun akhirnya mereka tiada tempat untuk ditawarkan dalam perkhidmatan awam. Akhirnya kontrak mereka juga tinggal dakwat di atas kertas sahaja.
Awal hari ini ketika artikel ini sedang ditulis, Dato’ Seri Najib akhirnya mengumumkan semakan semula Kekal biasiswa JPA sangkal spekulasi, kata timbalan menteriBelanjawan 2016 mengumumkan penerusan tawaran biasiswa JPA.
Mungkin ini suatu berita gembira buat para lepasan SPM yang menanti dan rakyat Malaysia amnya. Memang benar, umumnya berita ini sememangnya lebih baik daripada pembekuan terus permohonan biasiswa tersebut.
Tetapi sebenarnya terdapat bentuk tawaran biasiswa yang dilihat wujudnya persoalan timbang-tara keutamaan untuk tajaan penuntut berpotensi. Antaranya ialah tawaran Program Khas Kejuruteraan untuk 200 orang untuk ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.
Seperti mana diketahui, sudah menjadi rahsia terbuka bahawa begitu ramai lepasan kejuruteraan agak sukar memperoleh pekerjaan dalam bidang itu sendiri, lebih-lebih lagi dalam perkhidmatan awam.
Ditambah pula dengan sejarah JPA melepaskan kontrak penuntut tajaannya dalam bidang-bidang tertentu kerana tidak terdapat tawaran dalam perkhidmatan awam. Apa rasionalisasi kerajaan dalam tajaan seramai ini untuk program kejuruteraan hingga ke sana?
Tidak dinafikan menaja penuntut ke Jerman contohnya boleh mengurangkan sedikit kos kerana Jerman menawarkan pendidikan percuma. Tetapi elaun keseluruhan yang perlu dibayar dalam Euro.
Jika, katakanlah, lebih kurang sejumlah 5000 Euro elaun diberikan
buat seorang penuntut di Jerman,
jumlah tersebut cukup untuk menaja
sekurang-kurangnya empat orang penuntut IPTA di Lembah Klang. Tambahan
lagi, JPA tidak perlu membayar kos penuh pengajian di IPTA memandangkan
subsidi pengajian di IPTA sudah cukup tinggi. Tinggal beri sedikit elaun
sahaja buat mahasiswa.Benar, kenyataan MuhdFahrulrazi Keep your head straight about JPA scholarship – Mohd Fahrulradzi bahawa proses membina bakat merupakan suatu “seni yang halus”, perlu diberi perhatian rapi dan perlu menjadi keutamaan buat mana-mana negara membangun.
Tetapi buat masa sekarang, dengan fasiliti IPTA dan IPTS yang boleh dikatakan cukup memuaskan untuk pengajian peringkat ijazah pertama, pembinaan bakat di luar negara tidak lagi menjadi suatu yang sepenting tahun 60-an dahulu.
Malah bukan rahsia lagi lepasan perubatan di UM, USM dan UKM contohnya, sebilangan besar mereka menjadi pengamal perubatan yang lebih baik daripada lepasan tajaan luar negara kerana mereka dilatih cukup bagus untuk mengamal amalan klinikal di pusat-pusat perubatan awam dalam negeri.
Program Biasiswa Nasional untuk 20 lepasan SPM terbaik kebangsaan sudah cukup untuk kerajaan benar-benar melatih dan membina bakat negara yang terbaik ini.
Kepercayaan bahawa penuntut prasiswazah ke luar negara akan mampu membawa balik budaya, ilmu dan teknologi dari negara asing ke nagara ini perlu dikaji malah dicabar. Hal ini kerana pada peringkat pengajian ijazah pertama, kebanyakan mahasiswa bukanlah benar-benar berpeluang menjalakan penyelidikan tahap tinggi menggunakan fasiliti luar negara sehingga menjadi suatu yang amat penting untuk menaja ke sana.
Perlu difahami bahawa kebanyakan mahasiswa peringkat prasiswazah mengambil ilmu lebih untuk memperkenalkan diri dengan dunia akademik dan lebih memfokuskan pada pengajian diri sendiri lebih daripada penghasilan atau sintesis ilmu dan produk baharu.
Tidak cukup dengan itu, tawaran “bursary” untuk calon SPM yang memperoleh 9A+ juga terbuka untuk dipertikaikan kerana boleh jadi yang mendapat 9A+ itu tidak memperoleh A+ (malah mungkin A) dalam subjek teras sain tulen tetapi calon lain yang hanya mendapat 7A+ mendapat kesemua A+ dalam subjek teras sainsnya.
Tetapi hanya kerana tidak memperoleh cukup 9A+, calon kes kedua tidak berpeluang mendapat “bursary” automatik tersebut tetapi calon kes pertama pula yang mendapat tawaran ini.
Dalam kes ini, analisis kualiti calon oleh JPA dan Kementerian Pendidikan juag boleh dipersoal.
Bukanlah kritikan di sini bermaksud JPA perlu terus membatalkan tawaran biasiswa buat selama-lamanya.
Tetapi mempertimbangkan kes-kes yang melanggar kontrak, pembatalan kontrak oleh JPA sendiri, fasiliti sedia ada yang sudah cukup bagus di IPTA, dan keadaan ekonomi semasa negara hari ini, kerajaan harus membuat analisis pulangan yang lebih komprehensif Education is a citizen’s right.
Lebih penting untuk kita semua amati ialah bukan sekadar sama ada kerajaan menawarkan biasiswa atau tidak, tetapi audit keberkesanan tajaan itu yang perlu diperhalusi.
Kita juga perlu sedar, tidak semestinya tajaan pengajian luar negara mesti menjadi tanggungjawab kerajaan. Sungguhpun terdapat beberapa persoalan mengenai pembahagian kek bajet kepada jabatan-jabatan tertentu, keberkesanan dan pulangan daripada tajaan penuntut tidak boleh disorok bawah permaidani.
Akhir sekali, sebanyak mana yang ditaja dan apabila kontrakitu dilunaskan atau tidak, duit rakyat juga yang menjadi pertaruhan.
Kita mesti mula berhati besar dan menghadapi realiti dan rasional perbelanjaan negara untuk biasiswa yang bernilai ratus ribuan untuk seorang mahasiswa ke luar negara apabila mahasiswa perubatan IPTA hanya memerlukan lebih kurang puluh ribuan sahaja untuk dibiayai elaunnya.
* Wan Salman Wan Sallam ialah Timbalan Pengerusi IKRAM Siswa Pandan Indah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan