HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2016

Bank tempatan ketinggalan transformasi data besar

SINAR HARIAN


Kira Wang
Gambar Hiasan.
 

BANK-bank tempatan Malaysia masih jauh ketinggalan dalam usaha transformasi data-data besar, sebagaimana dipaparkan dalam laporan bersama Institut Bank-bank Bertauliah Asia (AICB) dan firma perkhidmatan profesional Ernst & Young (EY).

Laporan bertajuk 'C-Suite's Next Game Plan: Data Analytics?,' turut mendapati bank-bank Malaysia masih di peringkat permulaan dan ketinggalan selama setahun hingga dua tahun dalam amalan standard global dari segi pekerja, pemprosesan dan teknologi dalam usaha merealisasi nilai daripada aset data mereka.

"Untuk berganjak dalam rantaian nilai analisis serta berkembang dalam era data besar, bank-bank yang berpangkalan di Malaysia ini perlu mengoptimumkan aset data mereka, menggunapakai analisis pelanggan dan membentuk kerjasama strategik.

"Analisis lanjutan misalnya, adalah pelan utama akan datang bagi bank-bank Malaysia untuk memanfaatkan data serta bersaing di platform berbeza bagi nilai jangka panjang," katanya.

Sementara itu, Rakan Kongsi Urusan Asean EY, Chow Sang Hoe berkata aspek analisis data itu perlu dijadikan asas bagi ekosistem data yang berkembang pesat serta pelbagai dimensi untuk menjana nilai perniagaan.

"Organisasi cemerlang di peringkat global kini memanfaatkan analisis data lanjutan untuk melakukan transformasi bagi operasi mereka.

"Malah, dengan peningkatan persaingan serta tekanan kos dan kawal selia, adalah penting bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mempercepatkan lagi transformasi organisasi dengan memanfaatkan analisis data ini," katanya.

Menurut hasil tinjauan terbaharu, majoriti bank-bank yang berpangkalan di Malaysia ini memiliki dasar tadbir urus data dalaman yang komprehensif, termasuk keselamatan dan privasi data, akses data serta dasar media sosial yang mengatasi rakan mereka di peringkat global. - Bernama


Tiada ulasan: