FERNANDO FONG
Dalam usaha menggalakkan
celik huruf di kalangan kanak-kanak dari golongan miskin bandar, Borders
Bookstores Malaysia memikul usaha menganjurkan 'Book Drive Campaign'
baru-baru ini. - Foto Ihsan HOPE Worldwide Malaysia
KUALA LUMPUR, Bayangkan manusia hidup tanpa buku, pasti bayangan kita menggambarkan tentang negara-negara dunia ketiga yang miskin.
Tetapi di Sentul, yang terletak di
tengah-tengah Kuala Lumpur, ada di kalangan keluarga tidak mempunyai
buku kanak-kanak di rumah disebabkan tidak mampu membeli walau sebuah
buku pun.
Dalam usaha menggalakkan celik huruf di
kalangan kanak-kanak dari golongan miskin bandar, Borders Bookstores
Malaysia memikul usaha menganjurkan ‘Book Drive Campaign’ baru-baru ini.
Buku-buku dan hadiah yang dikumpul dalam
kempen tersebut didermakan kepada HOPE Worldwide Malaysia, sebuah
pertubuhan amal antarabangsa yang memberi tumpuan kepada kesihatan,
pemakanan dan pendidikan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik di
Malaysia.
Para pelanggan mengambil bahagian dengan
memilih dan membeli buku-buku atau hadiah dari mana-mana kedai buku
Borders yang ingin mereka derma.
Kemudian,
barangan yang mereka beli diletakkan di satu sudut khas, di mana semua
hasil derma barang dilihat menimbun seperti pokok Krismas.
Penolong Pengurus Pemasaran Borders Malaysia, Edison Ho berkata kempen ini dijalankan pada musim perayaan Krismas tahun lalu.
“Pada musim Krismas, kita sering bergegas ke kedai-kedai buku untuk membeli hadiah bagi orang tersayang.
“Musim Krismas, kami berharap dapat
mengambil kesempatan ini, untuk menggalakkan pelanggan-pelanggan kami
dalam mengingati masyarakat yang kurang bernasib baik,” katanya.
Bagi Pengarah Eksekutif HOPE Worldwide
Malaysia, Katy Lee, berkata usaha yang dilakukan kedai buku terbabit
sangat dihargai melalui kempen yang dijalankan dengan jayanya.
“Tabiat membaca adalah sesuatu yang boleh
kita pupuk untuk anak-anak, dan kemudiannya dengan membaca akan
mengubah kehidupan mereka.
“Pendidikan juga merupakan antara fokus
utama di dalam organisasi kami,” katanya sambil menambah bahawa
buku-buku harus dilihat sebagai satu keperluan di samping akses kepada
makanan, penjagaan kesihatan dan tempat tinggal.
Buku-buku dan hadiah yang dikumpul akan
diletakkan di perpustakaan komuniti Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide
Kuala Lumpur di Sentul.
Kanak-kanak akan datang dan mengambil buku tersebut untuk dibaca selepas waktu sekolah atau pada hujung minggu.
HOPE Worldwide Malaysia juga menganjurkan
program pendidikan seperti Program Membaca setiap Sabtu, yang tujuannya
adalah untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik untuk
belajar dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.
Untuk maklumat mengenai cara menjadi sukarelawan, sila layari www.hopeww.org.my atau hubungi Lee di 016-2273913.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan