Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengharapkan parti politik pembangkang mengekalkan prinsip 'satu lawan satu' dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, biarpun PAS kini enggan bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan
Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata parti politik
pembangkang perlu mengikat persefahaman atas dasar bersama untuk
mengekalkan prinsip berkenaan.
"Kalau kita boleh mengikat persefahaman ini atas dasar
bersama saya percaya kita akan beri kesan yang cukup positif dalam
pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita selepas
menghadiri taklimat tertutup PKR di Kota Bharu Kelantan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah
PKR akan membantu Amanah, sebuah parti serpihan PAS untuk bertanding di
Kelantan pada PRU14 akan datang.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar
Selangor berkata kerjasama terjalin antara PKR dan Amanah perlu
dihormati PAS walaupun PAS menolak untuk berada dalam Pakatan Harapan
yang turut disertai DAP.
PAS, yang dahulunya sekutu PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, telah keluar daripada pakatan itu ekoran pergeseran politik.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan