HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2016

'Najib boleh rembat RM2.6b, tapi dia berhati mulia'

MALAYSIAKINI


 


Perdebatan ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berlangsung selama enam bulan dan mulai Selasa lalu perkembangan baru mendedahkan bahawa RM2.03 bilion sudah dikembalikan kepada penderma berkenaan.

Perkembangan itu kini menyaksikan kedua-dua pengkritik dan penyokong Najib berbalah mengenainya.

Di kalangan kumpulan pro-Najib, portal Mykmu.net menjadikan Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin yang dilabel sebagai peminat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sasarannya.

Portal itu berhujah bahawa perdana menteri boleh ‘rembat’ semua duit itu jika beliau mahu, tetapi tidak berbuat demikian kerana beliau bukan seorang penyangak.

“Derma masuk untuk PRU13, bila PRU13 selesai dan duit itu tidak habis digunakan, ia dipulangkan semula kepada keluarga diraja Arab Saudi yang berkenaan.

“Mulia hati Najib tu. Kadir jangan samakan Najib dengan orang lain, memang orang lain akan sapu kalau dapat peluang macam itu, dah masuk akaun kan, gila ka pulang balik, bukan sikit pula tu, lebih RM2 billion!!,” kata tulisan di portal itu.

Mykmu.net juga menggesa Kadir yang membidas Najib untuk merujuk kepada laporan BBC berhubung sumbangan itu.

Dalam laporannya, BBC memetik "sumber yang rapat" dengan Arab tetapi tidak mahu namanya didedahkan sebagai berkata bahawa derma itu adalah dari Allahyarham Raja Abdullah.

Wang itu disalurkan kepada Najib untuk memastikan BN memenangi pilihan raya umum 2013 di tengah-tengah kebimbangan Riyadh mengenai pengaruh Ikhwanul Muslimin.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga mendedahkan bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan tidak ada unsur-unsur rasuah.

Apandi berkata jumlah itu telah disalurkan kepada Najib tanpa sebarang syarat.

Perdana Menteri juga berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi atau melakukan sebarang salah laku.

Sebaliknya, beliau menyalahkan tuduhan itu sebagai usaha untuk menumbangkan Umno dan kerajaan BN.

Tiada ulasan: