KOTA BHARU - Adun Salor, Datuk Husam Musa menyifatkan Ketua Pemuda Pas Kelantan, Fadhli Shaari tidak memahami isu dengan mengumpamakan anak kecil yang belum lepas susuan ibu.
Malah, Husam mendakwa ketua pemuda Pas itu gagal menarik minat anak muda yang kritis dan juga gagal mempamirkan sikap pemuda Islam yang menilai sesuatu berdasarkan neraca kebenaran dan bukannya asabiyyah kelompok.
“Pemuda Pas Kelantan seolah anak kecil yang belum lepas susuan dan berteriak takut-takut botol susuannya tidak bersambung, saya hairan, jika Fadli berani, kenapa beliau tidak hadir mewakili Kerajaan Negeri dalam forum itu,” katanya.
Husam berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Fadli yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Adun Salor dan Yang Dipertua Pas Kubang Kerian.
Husam berkata, apa yang dinyatakan beliau dalam forum itu adalah konsep akauntabiliti apabila seseorang pemimpin perlu memikul kesan kegagalan tindakannya.
Katanya, apa yang lebih merumitkan apabila tindakan itu diambil secara bersendirian dan tidak dirujuk pada organisasi.
Menerusi ‘roadmap’ pelaksanaan undang-undang syariah oleh Jawatan Kuasa Teknikal Bersama Negeri dan Pusat, Husam berkata tidak ada cadangan membawa undang-undang persendirian 355 diputuskan.
“Ini bermakna apabila ada individu yang mempengaruhi Presiden Pas untuk membawa usul persendirian itu dan langsung tidak dirujuk pada parti terlebih dahulu, mereka perlu bertanggung jawab atas kegagalan bill itu dibentangkan seperti dijanjikan sampai hari ini,”
“Bahkan, membawa usul secara pra matang telah melenyapkan atau merosakkan ‘roadmap’ asal, Ia lebih membawa kegagalan berbanding kejayaan. Tindakan tergesa-gesa itu lebih bersifat riya' dan agenda peribadi,” katanya.
Husam menjelaskan, tidaklah rugi jika tindakan itu ditangguhkan pada masa itu dan dibincangkan secara lebih masak dan diputuskan secara kolektif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan