HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2016

Malaysia boleh guna produk halal untuk teraju pasaran TPPA

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Malaysia mampu menjadi peneraju kepada produk halal tempatan sekaligus mengembangkan pasaran ekonomi negara selepas menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kelak, kata Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.
 
Katanya, Malaysia hendaklah mengambil kesempatan terhadap perjanjian ini kerana produk halal kini juga digemari oleh orang bukan Islam.
 
"Pasaran domestik kita terhad, kita sebuah ekonomi yang kecil jadi kalau tidak menyertai pasaran yang lebih besar kita sukar lebih lagi kita ada peluang untuk keluarkan produk halal. 
 
"Ini kekuatan kita sebab itu kita kena cari jalan untuk bagaimana dapat bidang utama yang boleh memberikan kelebihan kepada kita. Sebagai sebuah negara Islam, ada pasaran yang besar untuk produk halal yang memenuhi keperluan syarak. 
 
"Kita boleh memperkukuhkan aspek itu sebab itu kekuatan kita dan (produk) halal bukan hanya untuk orang Islam sahaja, orang bukan Islam pun mula memahami tentang kepentingan Halal dan ia bersih," katanya kepada Antarapos.
 
Jelas Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) itu, Malaysia mempunyai kelebihan untuk bersaing dengan negara-negara lain kerana kurang persaingan dari negara-negara yang menyertai TPPA yang mengeluarkan produk halal.
 
"Kita tidak boleh menunggu kerana persekitaran kita berubah-ubah, jadi perniagaan kita mesti tingkatkan daya saing, mungkin di peringkat awal kita akan berdepan dengan cabaran yang besar apabila bersaing dengan produk daripada negara-negara yang lebih maju daripada kita. Dalam masa yang sama kita kena tingkatkan persaingan dan kebolehan kita, tidak ada pilihan. 
 
Walau bagaimanapun, beliau berkata kebimbangan dan sensitiviti rakyat terhadap TPPA tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan.
 
Namun, peluang keemasan ini juga tidak harus dilepaskan memandangkan negara kini menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi.
 
"Kita dapat peluang untuk menyertai pasaran yang lebih besar seperti Amerika Syarikat dan Jepun dan ini sekaligus akan membolehkan produk kita masuk ke negara berkenaan dan dapat buka pasaran yang lebih luas lagi. Sebab itu akan membantu kita menyembangkan lagi kita punya pasaran," jelas Mustapa.
 
Langkah tunggu dan lihat sahaja adalah tidak proaktif kerana berdasarkan kepada situasi ekonomi yang suram kini, Malaysia sukar untuk menembusi pasaran negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, katanya. 
 
"Kita mesti tahu sekarang apa peluang yang terbuka untuk kita, kerana setiap cabaran itu ada banyak peluang untuk kita. Mungkin kita boleh melihat apakah prospek dan peluang baru yang terbuka daripada TPPA untuk kita rebut ke pasaran yang tidak pernah kita ceburi atau yang sukar kita tembusi sebelum ini," soal beliau.
 
TPPA diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Rabu dan Dewan Negara sehari selepas itu untuk Malaysia menganggotai pakatan perdagangan terbesar dunia itu setelah melalui proses rundingan selama lima tahun. 
 
TPPA melibatkan 12 negara di rantau Asia Pasifik iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. 


Tiada ulasan: