HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2016

Hentikan PLKN bukan potong biasiswa JPA

teresajpa-01 (2)


Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh kerajaan Persekutuan patut mensasar program Latihan Khidmat Negara (PLKN), bukannya mengorbankan masa depan pelajar pintar dengan memotong peruntukan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hairan mengapa kerajaan tidak meneruskan langkah memberhentikan PLKN pada pengubahsuaian Bajet 2015 bagi mengurangkan perbelanjaan negara.

“Jika kerajaan mendakwa pemberhentian PLKN untuk setahun boleh menjimatkan RM400 juta, mengapa tidak hentikan PLKN untuk tahun ini? Ia boleh membantu sekurang-kurangnya 200 pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Bukankah menyediakan biasiswa kepada pelajar pintar agar mereka boleh melanjutkan pelajaran ke universiti berkualiti lebih penting dari meneruskan PLKN?” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong yang menyatakan penghantaran semua 744 penerima biasiswa yang mendapat 9A + dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 ke luar negara, menelan kos RM1 bilion.

Membidas kenyataan Ka Siong, Teresa  berkata kerajaan harus sedar sektor pendidikan patut menjadi sasaran terakhir pengubahsuaian Bajet 2016 kerana ia melibatkan masa depan negara dan percaya memberhenti PLKN langkah lebih relevan.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Seputeh itu, berkata tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak meneruskan pemotongan biasiswa itu mengecewakan 724 mahasiswa walhal mereka dijanjikan peluang belajar di luar negara sebelum ini.

“Satu soalan kepada kerajaan, mengapa kini mereka menafikan hak 724 pelajar cemerlang itu apabila mereka sudah berjanji? Tidak bolehkah kerajaan membenarkan sekurang-kurangnya 50 peratus dari mereka mencapai impian mereka belajar di luar negara?

“Pelajar Bumiputera mungkin boleh bergantung kepada biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara), biasiswa luar negara JPA merupakan peluang utama kepada pelajar bukan Bumiputera untuk belajar di universiti terbaik dunia.

“Kini, ramai pelajar terutama dari keluarga kurang berkemampuan hilang peluang melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka walaupun mendapat keputusan cemerlang,” katanya.

Tiada ulasan: