HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2016

Patutkah saya keluarkan simpanan dalam Tabung Haji

 
Para pendeposit di Tabung Haji sememangnya mengharapkan dividen dapat diumumkan seawal yang mungkin


tabung-haji_600


Kebocoran surat amaran dari pihak Bank Negara Malaysia (BNM) kepada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung nilai aset badan berkanun itu yang dikatakan lebih rendah daripada liabiliti, menjadi satu topik yang hangat diperkatakan oleh masyarakat setanding isu pergolakan politik di Kedah.

Namun, perkara lain yang seiring dengan isu yang melibatkan TH dan sudah pastinya mendapat perhatian adalah berkaitan pembayaran bonus atau dividen kepada para pendeposit yang masih belum diterima meskipun langkah itu telah diambil oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Bagi mereka yang menyimpan di TH, ia dianggap satu perkara penting kerana simpanan yang dibuat merupakan pelaburan yang sewajarnya memberikan pulangan buat mereka. Bukanlah berharap sangat dengan dividen itu kerana matlamat menyimpan di TH adalah sebagai pelaburan untuk menunaikan kewajipan bagi orang-orang yang berkemampuan.

Apa pun, dua perkara yang timbul itu semangnya bersangkut paut antara satu dengan yang lain kerana ia melibatkan kepercayaan sebuah badan kerajaan yang menguruskan kewangan orang Islam.

Seorang sahabat ada memberitahu penulis, dia bimbang terhadap simpanannya yang telah didepositkan di TH sejak sembilan tahun yang lalu. Selepas mengetahui isu yang timbul itu dia bertanyakan pendapat kepada penulis sama ada wajar untuknya mengeluarkan segala simpanan yang dibuat atau membiarkan sahaja sehingga keadaan benar-benar berubah.

Perkara itu membuatkan fikirannya berkecamuk hingga sesekali terbayang perkara-perkara negatif yang boleh membawa risiko terhadap simpanannya itu.

Dalam menjawab persoalan itu, penulis hanya memberitahu kepadanya bukan sahaja dirinya malah, penulis sendiri ada membuat tabungan di TH sebagai azam untuk menunaikan rukun Islam bila tiba masanya.

Mengulas mengenai perkara itu, penulis berpendapat, isu yang berlaku di TH telah menimbulkan rasa cemas kepada rakan penulis sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini apabila orang ramai dikatakan mahu mengeluarkan simpanan mereka ketika isu pembelian tanah TRX yang melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bayangkan jika, langkah yang hendak dilakukan oleh rakan penulis itu dilakukan oleh semua pendeposit yang bimbang dengan krisis yang dihadapi oleh TH.

Tidak dinafikan, dalam hal ini penulis juga ada perasaan sama apabila terdetik di hati mahu mengeluarkan semua simpanan yang ada di dalam TH.

Bagaimanapun, setelah diyakinkan oleh Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim bahawa pengumuman mengenai dividen akan dibuat sebelum perayaan Tahun Baru Cina, penulis mengurut dada, melapangkan hati yang resah tadi dengan menantikan pengumuman yang akan dibuat minggu depan itu.

Sekiranya, janji itu ditunaikan, penulis yakin dakwaan-dakwaan yang dibuat sebelum ini dapat ditangkis dan nama baik TH sebagai sebuah badan berkanun yang menguruskan hal ehwal kewangan bakal jemaah haji akan tetap terjamin.

Namun, jika benar aset TH tidak cukup untuk membayar dividen sudah tentu pihak berkenaan akan mendapatkan sumber kewangan dari jalan yang lain.

Persoalannya, adakah sumber itu halal?

Tiada ulasan: