Oleh Fatih Hassan Nordin
BUKIT MERTAJAM : UMNO khususnya di Kedah digesa supaya berhenti berlegar dalam lingkungan ‘siapa harus ditampuk kuasa’ ketika rakyat terpaksa berhadapan dengan keparahan ekonomi global mahupun tempatan.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kesal kerana UMNO hanya peduli soal kuasa sedangkan rakyat negara ini terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu untuk tahun-tahun berikutnya.
“Kedah dan semua rakyat Malaysia sedang bersedia menghadapi tahun yang mencabar. Ramai bimbang isu kerja, apatah lagi selepas menteri mengakui pemberhentian tetap berlaku hingga 2017.
“Peningkatan kos sara hidup, penyusutan keuntungan kerajaan ekoran kejatuhan harga minyak, pengurangan perbelanjaan kerajaan serta cukai baru adalah faktor cabaran ekonomi mega untuk setiap rakyat.
“Namun, di tengah-tengah cabaran itu. UMNO hanya tahu tentang perebutan kuasa,” katanya mengulas peristiwa kehadiran tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke mesyuarat mingguan yang dipengerusi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir Rabu lalu.
Memetik artikel 41 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, Steven Sim berkata, mesyuarat Exco memerlukan sekurang-kurangnya kehadiran empat Exco selain anggota yang mempengerusikannya untuk membenarkan sesuatu mesyuarat itu berlangsung.
“Perkembangan itu menunjukkan krisis Menteri Besar di Kedah semakin parah. Dengan kelumpuhan Exco, cabang eksekutif di negeri itu tidak dapat berfungsi langsung. Dengan kata lain, tidak ada lagi pentadbiran di negeri itu,” katanya.
Menegaskan pertelingkahan dalaman parti itu pasti akan membahayakan Kedah, Steven Sim menggesa Mukhriz dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bertindak segera bagi memperbaiki situasi di negeri itu, sekaligus mengembalikan keadaan sedia kala.
Suasana politik di Kedah meruncing sejak minggu lalu apabila barisan kepimpinan UMNO negeri itu secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan