HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Kit Siang: Tubuh Suruhanjaya Diraja siasat skandal Najib

lim-kit-siang-650x400


Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal berkembar mega Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditubuh bagi mendedahkan kebenaran kepada umum.

Katanya, ia penting kerana rakyat tidak lagi percaya dengan siasatan agensi kerajaan termasuk Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) untak mendedahkan kebenaran skandal derma RM2.6 bilion dan RM42 juta SRC International itu.

“Keputusan Peguam Negara membebaskan Najib dari sebarang salah laku berhubung kedua-dua skandal itu menunjukkan skandal berkenaan tidak akan didedah jika disiasat agensi kerajaan.

“Ia diperkukuh dengan tindakan Najib memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Gani Patail sebelum ini, malah pemindahan pegawai di Jabatan Peguam Negara yang mendesak siasatan penuh terhadap skandal itu.

“Sudah tiba masanya kita meminta penglibatan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menjalankan siasatan awam supaya kebenaran berhubung skandal Najib didedahkan,” katanya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian pada ceramah ‘Solidariti Bersama Lim Kit Siang & Mana RM2.6 bilion?’ anjuran DAP Melaka di Bukit Rambai di sini, Ahad lalu.

Beliau antara lain menyentuh keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamedi Apandi Ali yang melepaskan Najib dari sebarang siasatan dan salah laku berhubung skandal itu, malah mengarahkan kertas siasatan ditutup.

Kata Kit Siang, sikap berdolak dalik Pengerusi PAC selama empat bulan berkaitan skandal itu menambah kecurigaan rakyat terhadap keupayaan agensi kerajaan mendedahkan kebenaran skandal Najib.

“Harapan terakhir rakyat untuk mengetahui kebenaran berkenaan skandal itu musnah apabila Apandi menolak cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membebaskan Najib dengan memutuskan tiada tindakan perlu dikenakan.

“Keputusan Apandi itu bukan saja memeranjatkan rakyat tetapi juga pengamal undang-undang dan kehakiman antarabangsa,” katanya.

Keputusan berkenaan, beliau berkata, membuka mata rakyat segenap lapisan kaum yang selama ini menaruh kepercayaan kedaulatan undang-undang negara dihormati Peguam Negara dan sistem keadilan di negara ini.


Tiada ulasan: