HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2016

Adenan cadang pilihan raya Sarawak 30 April

MALAYSIAKINI


 


Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem mencadangkan Sarawak mengadakan pilihan raya negeri Ke-11 (PRN-11) pada 30 April ini.

Beliau yang juga pengerusi BN Sarawak turut mencadangkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon.

Adenan mencadangkan kedua-dua tarikh itu dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar Persiapan Menghadapi PRN-11 Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Kuching, malam Jumaat.

"Saya sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memutuskan untuk menetapkan 18 April sebagai tarikh penamaan calon dan hari mengundi pada 30 April," katanya seperti dilapor portal Mstar.

Bagaimanapun, menurut laporan portal itu, Pengarah SPR Negeri, Datuk Takun Sunggah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut.

Adenan bagaimanapun tidak mengumumkan tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan.

Sementara itu ketika ditemui selepas seminar tersebut, Bernama melaporkan Adenan sebagai berkata: "Ia adalah untuk SPR menentukan tarikhnya, bukan saya... ini hanyalah cadangan."

Adenan berkata apabila tiba masanya, beliau akan memaklumkan kepada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud bagi membubarkan DUN dan kemudian Speaker akan memberi notis kepada SPR bagi menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi.

Bagaimanapun, beliau belum menetapkan tarikh menemui Tun Abdul Taib.

Terdahulu dalam ucapannya, Adenan berkata beliau lebih memilih 18 April untuk penamaan calon manakala 30 April sebagai tarikh mengundi.

Penggal DUN Sarawak sekarang akan berakhir pada 30 Jun ini dan SPR akan memutuskan tarikh penamaan calon dan mengundi sebaik dimaklumkan mengenai pembubaran DUN itu.

Tiada ulasan: