HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Januari 2016

TH jawab dakwaan kedudukan kewangan, agihan dividen minggu depan - Abdul Azeez

Astro Awani 
 
TH jawab dakwaan kedudukan kewangan, agihan dividen minggu depan - Abdul Azeez
Abdul Azeez (gambar) berkata pembayaran dividen TH akan diumumkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina. -Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan satu sidang media minggu depan bagi menjawab segala dakwaan mengenai kedudukan kewangan dan pembayaran dividen kepada pendeposit.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pembayaran dividen TH akan diumumkan sebelum perayaan Tahun Baru Cina.

"Insyaallah, minggu depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini, lapor Bernama.

Abdul Azeez turut menolak dakwaan bahawa terdapat institusi kewangan lain menyimpan dana di dalam TH berikutan hanya rakyat Malaysia beragama Islam sahaja yang layak menyimpan wang di TH.

Mengenai surat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangan TH pada tahun lepas, katanya syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu telah membuat laporan polis mengenainya.

"Hanya saya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dapat (surat itu). Macam mana surat itu boleh keluar?

"Jadi, kita akan lihat hasil siasatan polis, siapa yang mengeluarkan surat itu," katanya.

Beliau berkata tindakan BNM itu tidak salah dan tidak sepatutnya timbul sebarang isu mengenainya.

Katanya isi kandungan surat tersebut lebih kepada BNM memberi peringatan kepada TH, sama seperti yang dilakukan kepada institusi kewangan lain di bawah pemantauan BNM.

"Beliau (Zeti) memberi pandangan dan nasihat supaya menjaga keuntungan demi masa hadapan. Bukan kata TH kerugian atau kehilangan duit. Tindakan mereka tidak salah.
"Yang salah adalah dalang yang mengeluarkan surat tersebut dan memutarbelitkan (fakta yang tidak sepatutnya). Orang itu yang kita akan ambil tindakan, tidak kira siapapun dia," tegasnya.

Tiada ulasan: