shahbudindotcom
Mesyuarat
MT UMNO semalam tidak membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan
Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO
Kedah.
Meskipun
Najib Razak sudah mengadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah untuk memohon
perkenan melantik Menteri Besar yang baru, tetapi beliau mengatakan ia
akan diumumkan kemudian.
Bermakna, sehingga angkat sumpah diadakan, Mukhriz masih kekal dengan kedudukannya yang ada sekarang.
Tetapi,
semalam beliau sudah pun dihalang daripada menghadiri mesyuarat MT
sedangkan masih lagi berkedudukan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan
Menteri Besar Kedah.
Walaupun
kehadiran Mukhriz dalam mesyuarat MT hanyalah dalam kapasiti "turut
hadir" berikutan kedudukannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah,
namun selagi jawatan itu masih disandangnya, beliau tidak seharusnya
"dihalau" begitu saja.
Harus
ada sedikit hormat atas jawatan yang disandangnya itu, lainlah jika
beliau sudah digugurkan daripada mengetuai UMNO negeri Kedah.
Kenapa jadi begini? Apa yang Najib takut sangat dengan Mukhriz daripada menghadiri mesyuarat MT itu?
Apa yang cuba dirahsiakan dalam mesyuarat MT semalam?
Mengapa
menutup terus telinga daripada mendengar penjelasan Mukhriz sekiranya
timbul perbincangan mengenai jawatannya yang mahu dilucutkan?
Sebelum
ini Najib didapati takut dengan Tun Mahathir Mohamad dalam program
NothingToHide dan takut dengan Muhyiddin Yasin sehingga tidak
membenarkannya merasmikan mesyuarat sayap-sayap serta berucap menggulung
perbahasan Perhimpunan Agung UMNO, rupa-rupanya beliau juga gentar
untuk berdepan anak bekas Perdana Menteri itu.
Apakah
Najib hanya berani dalam komunikasi sehala saja? Kenapa sebagai
individu paling berkuasa dalam negara, Najib masih ada rasa takut dalam
dirinya?
Memang
hak Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO untuk menukar
mana-mana Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO, tetapi beliau
juga seharusnya tahu menghormati kedudukan seseorang yang masih ada
kedudukan dalam parti dan kerajaan.
Belajarlah
daripada Tun Mahathir yang masih memberi ruang kepada Tun Musa Hitam
merasmikan mesyuarat sayap-sayap pada pemilihan 1987 meskipun ketika itu
bekas Timbalan Perdana Menteri itu bermusuh dengannya.
Juga,
belajarlah bagaimana Tun Mahathir masih membenarkan Anwar Ibrahim
menghadiri mesyuarat MT dan membela dirinya sebelum memecatnya pada 1998
dahulu.
Kalau
pun perlantikan Menteri Besar memerlukan sedikit masa lagi untuk Najib
menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu, kenapa tidak digugurkan
saja jawatan Mukhriz sebagai Pengerusi Perhubungan terlebih dahulu agar
tidak berbangkit keperluannya menghadiri mesyuarat MT UMNO?
Mukhriz
sendiri pun barangkali lebih memahami ketidakperluannya hadir dalam
mesyuarat MT jika jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah itu sudah
dilucutkan daripadanya.
Meskipun
dilaporkan Mukhriz telah dihubungi melalui telefon, namun surat
pemberitahuan mengenai ketidakperluannya hadir itu hanya disampaikan
setelah beliau memasuki bilik mesyuarat di Menara Dato' Onn, PWTC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan