PKR tidak layak membandingkan parti itu dengan UMNO
yang lebih tertib dan demokratik untuk menukar Menteri Besar Kedah,
Mukhriz Mahathir.
Baru-baru ini PKR mendakwa parti itu lebih tertib ketika menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014.
PKR juga mendakwa UMNO tidak tertib dan tidak demokratik dalam usaha menukar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Di media sosial, kenyataan Ketua WHIP PKR, Datuk Johari Abdul itu menjadi bahan bualan. Bagi penyokong pembangkang, mereka mengiyakan tapi bagi penyokong kerajaan, mereka marah.
Kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani itu menjadi bahan perdebatan dan bahan lawak jenaka dalam kalangan blogger. Seorang blogger mengaku hampir termuntah membaca pengakuan berani Johari itu.
Mual katanya.
Bagi penulis yang mengikut rapat pergolakkan Menteri Besar Selangor pada 2014, kenyataan PKR itu amat mengejutkan.
Kenapa Johari mengeluarkan kenyataan itu sedangkan seantero negara malah dunia (media asing turut membuat liputan) tahu bagaimana parti itu berusaha menyingkirkan Khalid sehingga sanggup menjaja fitnah.
Ya, mungkin Khalid degil kerana tidak mendengar arahan parti (seperti PKR dakwa) tetapi tergamak parti itu memfitnah dan mengaibkan beliau. Bukan saja Islam malah semua agamapun melarang penganutnya memfitnah dan mengaibkan orang.
Seburuk-buruk UMNO pun (baca segelintir pemimpin UMNO), mereka tidak memfitnah Mukhriz apatah lagi membuat siri jelajah menjaja keburukan Mukhriz. UMNO menguasai media cetak dan elektronik tapi adakah mereka memburukkan Mukhriz?
Jawapannya TIADA. Jadi apakah yang dimaksudkan Johari yang mendabik dada mengatakan PKR lebih tertib dalam menukar Menteri Besar?
Dokumen berjudul ‘Menggantikan Menteri Besar Selangor’ menyatakan dan memberi gambaran Khalid korup, zalim, tidak boleh dipercayai, tidak bersikap telus, tidak jujur, tidak beretika, tidak beramanah, tidak berintegriti, telah terlibat dengan perlakuan rasuah dan salah laku dan tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.
Untuk rekod, bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saiffudin Nasution telah meminta maaf kepada Khalid bagi pihak parti di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 14 Ogos 2015. Adakah perbuatan PKR itu tertib?
Usaha menyingkirkan Khalid juga melahirkan ‘Langkah Kajang’ sebagai usaha pertama menukar Khalid walaupun awalnya Ketua Umum PKR yang disanjung tinggi, Datuk Seri Anwar Ibrahim beriya-iya menafikan.
Di situlah juga bibit perpecahan Pakatan Rakyat. PKR tanpa berbincang rakan lain terutama PAS terus membuat langkah sumbang yang akhirnya menjadi bibit pertelingkahan PAS-DAP.
PKR menjadikan dirinya seperti tidak berdosa sebaliknya PAS pula dijadikan serangan kerana enggan terima pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar wanita pertama di negara ini.
Masih lagi PKR mengikut tata tertib dan demokratik?
Amat menyedihkan apabila ada pemimpin PKR yang masih mampu mengangkat muka dan mengkritik UMNO dalam isu Menteri Besar Kedah.
Lebih baik PKR diam dan muhasabah diri untuk mengelak lebih banyak pekung di dada terburai. Biarpun UMNO sangat tidak disenangi rakyat jelata ketika ini, tapi parti itu tidak memburukkan Mukhriz dan tidak keluarkan dokumen memfitnah Mukhriz.
Tetapi tidak bagi PKR, parti itu sanggup memfitnah Menteri Besar mereka sendiri. Biarpun terpaksa membaca kenyataan mohon maaf di mahkamah, PKR tak kisah kerana cita-cita burukkan dan singkir Khalid telah berjaya.
Dalam hal menjaga tatatertib dengan istana, UMNO dan PKR tidak langsung boleh disamakan kerana UMNO jauh lebih baik dan beradab.
UMNO mengikut protokol dalam urusan menukar Menteri Besar. Lantas, tiga nama calon diberikan kepada Istana Kedah untuk menggantikan Mukhriz.
Tapi PKR dan Pakatan Rakyat? Mereka hanya mencalonkan satu nama. Kononnya tanda sepakat. Tahukah tindakan itu telah membangkitkan kemurkaan Sultan Selangor? Tertib sangatkah langkah PKR itu?
Bila kita berjalan, jangan hanya mendongak ke langit, selalulah pandang ke bumi. Sebelum mengata orang, cerminlah diri. Jika anda lebih buruk lebih baik diamkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan