KOTA KINABALU,  Pemimpin di negeri ini menyuarakan kebimbangan terhadap pendedahan baru-baru ini mengenai kanak-kanak yang membesar di jalanan di bandar akan membesar menjadi dalang kegiatan jenayah.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas, Junz Wong merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra bahawa dalang kes jenayah baru-baru ini di bandar berkemungkinan membabitkan anak-anak jalanan.

Sambil mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana tindakan pantas mereka dalam menyelesaikan kes-kes jenayah di bandar, Wong bagaimanapun berkata bahawa masalah yang berlarutan lama membabitkan kanak-kanak jalanan tanpa negara itu telah meningkat sehingga menjadi masalah sosial dan keselamatan yang membimbangkan.

“Dilaporkan bahawa suspek ini membesar di jalanan di Kota Kinabalu, maka, mereka berpengetahuan luas mengenai persekitaran mereka dan menjadikan mereka biasa dengan susun atur bandar.

“Dalam erti kata lain, semua telah dirancang dengan baik dan bukan jenayah rawak. Suspek akan mengekori mangsa yang berpotensi untuk mencari peluang melakukan jenayah dengan menggunakan kenderaan yang dicuri mereka, seperti yang dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiada data mengenai bilangan kanak-kanak jalanan di bandar, tetapi menganggap jumlahnya adalah besar.

Setiausaha DAP Sabah itu berkata, rakyat Sabah mengharapkan penyelesaian praktikal yang kukuh untuk mengatasi isu anak-anak jalanan” dan menggesa kerajaan supaya bertindak serta mencari penyelesaian masalah itu.

“Tolong jangan beri alasan dan menganggap ia sebagai satu lagi kes terpencil kerana semua rakyat Sabah tahu masalah ini, termasuk yang melibatkan kanak-kanak jalanan tanpa negara, dan bagaimana ia berkaitan dengan masalah sosial yang berpotensi berlaku,” kata Wong.

Beliau percaya, kerajaan negeri Sabah boleh menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji secara mendalam kesan dan sejauh mana masalah “kerakyatan” anak-anak jalanan, selain penyelesaian alternatif.

Kerajaan tidak boleh menutup mata masalah ini, sambil menambah daripada mengeluarkan wang dalam skim seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan skim payung lain yang bertujuan “memancing undi”, kerajaan perlu mewujudkan peluang pekerjaan dan juga melatih mereka dengan kemahiran yang boleh membantu mereka mengubah kehidupan dan negara.

“Saya menggesa kementerian yang berkaitan untuk menubuhkan jawatankuasa untuk tindakan segera, supaya isu ini dapat dikaji dengan serius.

“Saya benar-benar bimbangkan isu ini dan tindakan pantas perlu dilakukan sebelum masalah ini menjadi semakin buruk dan membawa kepada masalah sosial yang lebih besar.

“Jika ia tidak dibendung, masalah ini bukan sahaja melanda Bandar Kota Kinabalu, tetapi juga daerah-daerah lain di Sabah,” katanya.