HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2016

DAP cadang proses pelantikan Peguam Negara diubah

apandiag lip eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng menyeru semua pihak menambah baik proses pelantikan Peguam Negara supaya institusi itu bebas dan melaksanakan keadilan tanpa mengira kepentingan mana-mana pihak.

Katanya, ia dapat mengelak lantikan baru atau penukaran sesuka hati jawatan itu seperti yang berlaku terhadap Tan Sri Abdul Gani Patail tahun lalu bagi menggagalkan proses siasatan terhadap skandal derma RM2.6 bilion.

Beliau berkata, Peguam Negara tidak sepatutnya menjadi peguam peribadi mana-mana Perdana Menteri, apatah lagi sebagai jurucakap rasmi untuk menegakkan benang basah bagi pihak Najib.

“Kita tidak jenuh memikirkan sebab kenapa Najib enggan melantik seorang Ahli Parlimen yang dipilih secara demokratik sebagai Peguam Negara seperti amalan di UK, Australia dan kebanyakan negara yang menggunakan sistem Common Law,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media, hari ini berkaitan kritikan ramai terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang membuat keputusan membebaskan Najib dalam tuduhan skandal derma RM2.6 bilion.

Lip Eng bimbang hilangnya keyakinan awam terhadap Jabatan Peguam Negara dan institusi kerajaan lain sekaligus mencetuskan krisis keyakinan lebih besar dalam kalangan pelabur luar terhadap institusi kewangan negara.

Justeru, katanya, tidak hairan kenapa pelabur lebih selesa untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang dengan bidang kuasa arbitrasi luar negara tanpa melibatkan institusi di Malaysia.

“Kemarahan orang ramai akan semakin membara sekiranya tiada sebarang penambahbaikan dalam prosedur pelantikan Peguam Negara,” katanya

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya seluruh masyarakat sivil berganding bahu bersama-sama parti politik untuk mendesak penambahbaikan dalam proses pelantikan Peguam Negara. -Roketkini.com


Tiada ulasan: