HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Januari 2016

Ketua Wanita PKR dihalang lagi memasuki Sarawak

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Imigresen hari ini sekali lagi menghalang Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin daripada memasuki Sarawak tanpa memberikan sebarang alasan.

Kejadian itu berlaku pada jam 1:15 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

"Sebaik sahaja diperiksa, pegawai itu meminta saya pergi ke pejabat dan berkata bahawa saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak.

"Saya mintanya menyemak dengan pejabat Ketua Menteri. Pegawai itu kemudian berkata, tidak ada apa-apa pelepasan dari pejabat ketua menteri.


"Ini adalah kali ketiga saya dihalang memasuki Sarawak," kata Zuraida ketika dihubungi.

Beliau yang juga adalah ahli parlimen Ampang dihalang memasuki Sibu semasa pilihan raya kecil kerusi Balingian pada tahun 2014.

Tahun lalu, Zuraida juga dilarang memasuki Kuching.

"Saya tahu bahawa saya dalam senarai hitam. Tetapi saya telah menulis surat kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem (untuk beliau membuat penilaian semula).

"Semasa kunjungan hormat ke pejabat Adenan tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat permintaan peribadi kepada Adenan untuk membolehkan kita masuk ke Sarawak," katanya.

Zuraida dijadual mengadakan pertemuan dengan bakal calon wanita PKR bagi pilihan raya Sarawak.

Turut bersama Zuraida ialah Timbalan Ketua Wanita PKR Haniza Talha, yang bagaimanapun, diberi kebenaran untuk masuk ke negeri itu dan beliau kemudian menyambung penerbangan ke Miri.

Tiada ulasan: