HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Potong GST bukannya caruman KWSP



Oleh Faiz Fadzil


Pengumuman perdana menteri kerajaan memotong caruman KWSP pekerja sebanyak 3% sebagai salah satu pengubahsuaian Bajet 2016 bukanlah satu jumlah yang banyak yang mampu membantu meringankan beban rakyat yang dihimpit dengan kenaikan harga barang, petrol, tol, caj pengangkutan awam dan bermacam lagi kos sara hidup.

Ini kerana pada masa sama, perdana menteri dengan bangganya mengatakan GST menyelamatkan ekonomi negara dan mengingatkan rakyat terutama penjawat awam hasil GST mengekalkan jawatan mereka.

Ironinya, GST dikutip daripada rakyat.


Dianggarkan jumlah kutipan GST pada 2016 akan mencecah RM39 bilion di mana secara purata setiap rakyat perlu membayar GST sebanyak RM7000 setahun.

GST adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap barangan dan perkhidmatan yang sudah pasti ditanggung setiap rakyat samaada bekerja atau tidak, bergaji atau berniaga sendiri, di bandar atau luar bandar.

Malahan, rakyat miskin yang tinggal di Sik, Baling, Gua Musang termasuk yang tinggal di kota besar juga perlu menanggung GST.

Sedangkan, caruman KWSP hanya ditanggung pekerja saja.

Walaupun mereka mendapat pendapatan lebihan akibat pengurangan caruman KWSP, mereka juga tidak terlepas daripada menanggung GST yang jumlahnya jauh lebih besar daripada potongan caruman KWSP.

Hasrat kerajaan untuk mengutip lebih banyak hasil GST juga dapat dicapai di mana pendapatan lebihan ini pasti akan dibelanjakan pekerja yang mana hasil GST akan meningkat dengan meningkatnya perbelanjaan ke atas barangan dan perkhidmatan.

Justeru, GST yang seharusnya dipotong.

Usahlah perdana menteri mengulangi skrip memperbodohkan rakyat kononnya GST membantu rakyat sepertimana skrip membebaskan perdana menteri daripada kesalahan jenayah dalam skandal RM2.6 bilion sungguhpun disahkan aliran kemasukan wang sejumlah RM27 juta dari SRC International ke akaun peribadi beliau.

Mengapa perdana menteri tidak diarahkan memulangkan wang tersebut sedangkan rakyat diarahkan membayar GST.

Cukuplah menekan dan memperbodohkan rakyat.

* Penulis ialah timbalan ketua pemuda  Amanah.

Tiada ulasan: