SHAH ALAM - "Selamat datang si "penjajah" moden, selamat tinggal kebebasan dan jati diri," demikian ujar Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam mengulas soal Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang dilulus dalam Dewan Rakyat, semalam.
Kata Nik Abduh, beliau sememangnya sudah menjangkakan persetujuan majoriti ahli Parlimen terhadap perjanjian tersebut kerana sejak awal lagi kerajaan dilihat aktif mempromosikan TPP menerusi media.
"Keputusan ini sudah dijangka semenjak dari awal lagi. Sejak dokumen rasmi mengenai TPP didedahkan kepada umum, Kerajaan kelihatannya begitu agresif menggunakan segala ruang melalui media cetak dan elektronik untuk berkempen mengenai TPP.
"Segala bentuk bantahan telah dikemukakan sama ada melalui diskusi ilmiah sehingga ke himpunan aman di Padang Merbok. Namun, Kerajaan seolah-olah memekakkan telinga dengan segala justifikasi dan hujah yang dibentangkan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Majoriti ahli Parlimen pada semalam menyatakan sokongan terhadap TPP setelah dua hari bersidang di Dewan Rakyat bagi membahas usul TPP yang dikemukakan.
Keputusan tersebut sekaligus menyaksikan Malaysia bakal menandatangani perjanjian tersebut pada bulan hadapan di New Zealand.
Nik Abduh dalam pada itu menyatakan rasa kesalnya terhadap kerajaan yang hanya berhujah berpaksikan kepada aspek ekonomi dan perdagangan dan tidak menyentuh aspek lain.
"Itu pun masih belum cukup ampuh untuk meyakinkan keuntungan yang bakal diperolehi Malaysia.
"Manakala aspek geopolitik AS (Amerika Syarikat) dan China, pengaruh politik AS disebalik perjanjian tersebut tidak diambil perhatian langsung, malah menolak mentah-mentah pandangan yang dikemukakan," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan