HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Kecilkan kabinet jimat belanja negara

MALAYSIAKINI


 


Langkah kerajaan melakukan pengubahsuaian belanjawan diumum perdana menteri pada 28 Januari lalu tidak banyak mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata bebanan itu ditanggung kerana kejatuhan harga minyak serta nilai ringgit di pasaran.

Kata bekas Naib Presiden PAS itu, berbanding mengecilkan saiz kabinet kerajaan menyarankan caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga peratus sehingga Disember 2017.

"Namun kerajaan tidak melakukan sesuatu yang memberikan kelegaan kepada rakyat.

"Jumlah anggota kabinet langsung tidak disentuh untuk dikurangkan seperti yang dicadangkan kepada antara 15 hingga 19 orang saja berbanding 35 orang sekarang.

"(Pada masa sama) sektor swasta terpaksa mengurangkan kakitangannya daripada pelbagai peringkat untuk mengurangkan beban kos operasi.

"Sepatutnya kerajaan juga mengurangkan separuh anggota kabinetnya untuk mengurang kos gaji menteri dan lantikan politik," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Datuk Seri Najib Razak pada Khamis lalu mengumumkan beberapa langkah pengubahsuaian untuk menyesuaikan kemampuan kerajaan berdepan masalah semasa.

Selain pengurangan carumah, kerajaan bersetuju mengecualikan cukai individu sehingga RM2,000 bagi seseorang yang berpendapatan kurang daripada RM8,000 sebulan untuk tahun taksiran 2015.

Keluarga miskin tegar yang berdaftar pula akan menerima 20 kilogram beras setiap bulan.


Bagaimana bukan pencarum?

Kata Mahfuz, kerajaan juga tidak memansuhkan pelantikan jawatan Duta Khas dan penasihat perdana menteri yang bertaraf menteri yang "menghabiskan sejumlah wang negara" melalui pembayaran kepada mereka.

Beliau berkata pengurangan caruman KWSP sebanyak 3 peratus dengan anggaran RM8 bilion untuk pekerja berbelanja masih tidak mencukupi kerana tidak semua rakyat Malaysia mencarum dalam agensi berkenaan.

Ketika ini, kata Mahfuz, hanya 6.72 juta pencarum KWSP yang masih aktif terlibat.

"Bagaimana golongan yang tidak mencarum dalam KWSP dan golongan yang selama ini pendapatan mereka tidak layak dicukaikan kerana cukup makan atau pun tak cukup makan?

"Bukan semua rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi tergolong dalam 200 ribu keluarga miskin tegar yang akan mendapat bantuan beras 20 kilogram sebulan," katanya.

Mahfuz menambah pengubahsuaian belanjawan tidak memberi makna jika rakyat gagal memperoleh pendapatan boleh guna yang lebih besar, dan pada masa sama terus menjadi mangsa cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Justeru, katanya, beliau tetap mencadangkan kerajaan perlu mengurangkan kadar GST daripada enam peratus kepada tiga peratus saja.

"Potongan KWSP dianggar meningkatkan perbelanjaan penggunaan swasta sebanyak RM8 bilion setahun seperti diharap oleh Najib sebenarnya membawa pulangan kepada kerajaan melalui GST bernilai RM480 juta.

"Begitu juga dengan pelepasan khas cukai individu RM2,000 kepada pembayar cukai pendapatan individu yang berpendapatan RM8,000 sebulan ke bawah kononnya menyebabkan kerajaan hilang RM350 juta setahun.

"Ini bermakna RM350 juta dalam poket rakyat untuk dibelanjakan bagi kerajaan mendapat kembali melalui GST. Wang RM350 juta tersebut akan memberi balik pulangan kepada kerajaan melalui GST sebanyak RM21 juta.

"Ini bermakna kerajaan mendapat tambahan pendapatan melalui GST sebanyak RM501 juta kepada perolehan GST sedia ada sebanyak RM51 bilion.

"Maksudnya, pengubahsuaian belanjawan itu menjadikan rakyat sebagai penyelemat ekonomi negara melalui GST, bukannya Najib dan kabinet dapurnya," kata Mahfuz.


Tiada ulasan: