HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Persaraan lebih penting, kata pekerja tentang potongan caruman 3% KWSP



Pekerja Malaysia mahu mengekalkan caruman KWSP ‎pada kadar 11% walaupun Putrajaya menawarkan pengurangan sebanyak 3% bagi 2 tahun dalam pengstrukturan semula Bajet 2016. – Gambar fail The Malaysian Insider, 30 Januari, 2016.Pekerja Malaysia mahu mengekalkan caruman KWSP ‎pada kadar 11% walaupun Putrajaya menawarkan pengurangan sebanyak 3% bagi 2 tahun dalam pengstrukturan semula Bajet 2016. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Pekerja Malaysia mahu mengekalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ‎pada kadar 11% walaupun Putrajaya menawarkan pengurangan sebanyak 3% bagi 2 tahun dalam pengstrukturan semula Bajet 2016.  
 
 Kebanyakan yang ditemui berpendapat, mereka lebih memikirkan tentang persaraan berbanding mendapat sedikit tambahan pendapatan pada hujung bulan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insider, pengurangan pemotongan caruman KWSP kepada 8% bagi membantu kos sara hidup tidak membawa impak yang besar dalam kehidupan mereka melainkan jika mempunyai pendapatan tinggi.

Christopher Raj yang mengendalikan syarikat perhubungan awam berkata, kesemua pekerjanya menolak untuk mengurangkan caruman bulanan KWSP. "Kita ada tanya kepada semua pekerja kita sama ada nak kekalkan caruman sedia ada atau kurangkan potongan, bagaimanapun kesemua mereka menolak.

"Ini kerana kalau ikut pengiraanya 3% itu tidak membawa jumlah yang besar pun, mereka tidak mahu melepaskan simpanan mereka kerana jumlah yang kecil," katan Raj yang juga ketua pegawai eksekutif syarikat itu.

Turut mempunyai pendapat sama pengurus di sebuah syarikat swasta, Anita Daud yang mengatakan akan mengekalkan kadar sama setiap bulan.

"Saya suka simpanan KWSP demi masa depan.

"Kerana ketika itu tidak ada siapa boleh bantu kita kecuali simpanan kita sahaja," katanya

Bagi Mohd Noor Aidilfitri  Mohamed yang bekerja di sektor gas dan minyak, gaji tambahan yang diterima sekiranya melalui pemotongan caruman KWSP hanyalah sebanyak RM80 sahaja.

"Saya tidak setuju dengan pemotongan, lagipun berapa sangat 3% dapat membantu. Kalau saya dalam RM80 sahaja," katanya.

Manakala pengurus syarikat yang hanya mahu dikenali sebagai SK berkata, pemotongan caruman KWSP bermaksud rakyat Malaysia akan mempunyai duit lebih untuk berbelanja secara tidak langsung menambah pendapatan ekonomi.

Bagaimanapun katanya, jika dilihat dari sudut individu ianya hanya akan merisikokan pelaburan persaraan masa depan.

"Jika saya menyumbang 8% kepada KWSP bermaksud akan ada lebih banyak wang hari ini namun simpanan persaraan berkurangan."

Katanya keputusan itu merupakan langkah yang bijak dengan memberi pilihan kepada rakyat untuk melangsaikan hutang mereka.

Namun beliau berkata, keputusan itu akan menjadi sia- sia sekiranya rakyat menggunakan duit tersebut untuk membeli barangan, bercuti atau meraikan sebarang sambutan.

Sharifah Azlin Zaiza Syed Mohd Zaki  yang bekerja sebagai  kerani pentadbiran berkata, daripada mengurangkan caruman KWSP kerajaan seharusnya mengurangkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Saya tidak setuju dengan pemotongan, lagi pun berapa sangat 3% dapat membantu. Kalau saya dalam RM80 sahaja.

"Daripada kurangkan caruman KWSP, kenapa tidak kurangkan cukai GST kepada 3%.

"Ini tidak pengguna terpaksa tanggung GST. Kerajaan juga perlu kawal harga keperluan pengguna, barang asas dan utiliti," katanya.

Bagaimanapun Perunding Projek Noel Jeremiah Daniel dan pekerja swasta Mohd Aswadi A'sad  tidak kisah sekiranya pemotongan caruman KWSP mereka dikurangkan.

"Saya akan buat pemotongan 3% dan  saya akan simpan dan buat pelaburan lain.

"Saya dapat RM200 sebulan untuk tambah pendapatan," kata Noel.

Aswadi pula berkata:"Saya akan buat potongan 3% kerana saya dapat gunakan wang tersebut untuk belanja isi rumah

"Tetapi ia lebih berguna kepada individu yang punyai gaji asas yang tinggi," katanya.

Bagaimanapun sumbangan majikan akan kekal, kata Najib ketika mengumumkan langkah dalam penyususnan semula Bajet 2016 yang dibentangkan.

Katanya, langkah ini akan membolehkan perbelanjaan akan bertambah sehingga RM8 billion.


Tiada ulasan: