HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Konvoi #BebasAnwar dilancar, jelajah KL dan Selangor 24 jam

Oleh Fyza Abd Halim


KUALA LUMPUR : Siri ‘Jelajah Konvoi #BebasAnwar’ dilancarkan hari ini sempena mengenang setahun Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim dipenjarakan pada tanggal 10 Februari ini.

Izzah-_JELALAH_KONVOI_BEBASANWAR_300116_TMISETH

Jelajah yang bermula di kediaman Anwar di Bukit Segambut pagi tadi itu dilancarkan Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Ia dianjurkan kumpulan sukarelawan anak muda #BebasAnwar, yang turut sama giat mengumpul sejuta tandatangan untuk pembebasan Anwar.

Konvoi pertama mereka dalam masa 24 jam ini bakal menjelajah ke beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor.

Nurul Izzah berkata, program ini bertujuan membina momentum sebelum sambutan setahun pemenjaraan Anwar.

“Ia untuk membina momentum sebelum 10 Februari ini yang menandakan setahun sejak Anwar dipenjarakan. Dan selepas itu kita melihat kepada banyak lagi pemenjaraan dan pendakwaan pemimpin KEADILAN dan aktivis.

“Penting untuk peringatan kepada semua apabila suara Anwar didiamkan, maka skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau keputusan terkini Peguam Negara bukan saja dipersoalkan rakyat Malaysia tapi seluruh dunia termasuk siasatan di Switzerland tentang akaun 1MDB yang bermasalah,” katanya.

Antara kawasan yang dilalui peserta konvoi adalah Segambut, Subang, Petaling Jaya, Puchong, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Kapar, Klang, Shah Alam dan Sungai Buloh.

“Bukan sahaja di Selangor, malah Konvoi #BebasAnwar turut akan ke beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan,” jelas Nurul Izzah.

Selain Nurul Izzah dan adiknya, Nurul Nuha, hadir sama program itu adalah pemimpin-pemimpin parti politik, aktivis masyarakat sivil dan aktivis mahasiswa.

Lebih 18 kenderaan membawa hampir 100 peserta sepanjang konvoi ini.

Tiada ulasan: