KUALA LUMPUR,  Majlis Tertinggi Umno nampaknya memberi isyarat “jelas” kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir yang beliau bakal disingkirkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah disandangnya.


Ini kerana, kata Ketua Penerangan Umno Bahagian Kluang, Datuk Lokman Adam, Mukhriz tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat MT yang diadakan petang tadi.

“Malangnya, walaupun tidak diundang, Mukhriz tetap hadir sehingga memaksa Setiausaha Agung mengarahkan agar mereka yang tidak diundang meninggalkan mesyuarat.

“Kedegilan Mukhriz ini dilihat sebagai satu cubaan untuk menagih simpati seolah-olah beliau dihalau keluar.

“Mungkin ramai tidak menyedari Mukhriz bukan Ahli MT, sebaliknya hanya berstatus turut hadir (mesyuarat) selaku pengerusi (badan) perhubungan.

“Jika Presiden mahukan pengerusi yang baru, maka hilanglah kelayakan beliau untuk menyertai mesyuarat MT lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lokman berkata, mesyuarat MT hari ini turut menyaksikan parti membuat rombakan kecil untuk memperkukuhkan jentera pilihan raya.

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Anuar Musa dilantik sebagai Ketua Penerangan parti yang baru, bagi menggantikan Datuk Ahmad Maslan yang dilantik sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat (IT).

“Ahmad juga dilantik sebagai Ahli MT bagi mengisi kekosongan yang pernah ditawarkan kepada Ustaz Kazim Elias,” katanya.

Jawatan Pengerusi Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno yang disandang Datuk Seri Shafie Apdal, diganti dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, manakala jawatan Abdul Azeez sebagai Pengerusi Biro Kebajikan diambil alih oleh Datuk Samsul Anuar Nasarah.

Bagi memastikan generasi muda diberikan tumpuan lebih mendalam, bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Razali Ibrahim dilantik mempengerusikan biro baru, iaitu Biro IPTS.

Penekanan turut diberikan terhadap pelajar-pelajar Malaysia di luar negara, melalui pembentukan Biro Pelajar Luar Negara yang dipengerusikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Ghani pula dilantik sebagai Pengerusi Biro Ekonomi Umno.