HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Tiada sekatan Apandi sertai badan berkanun, kata bekas peguam negara



Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak terikat mana-mana peruntukan undang-undang untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah badan berkanun kerajaan, kata bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Januari, 2016.Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak terikat mana-mana peruntukan undang-undang untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah badan berkanun kerajaan, kata bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Tiada undang-undang yang menyekat peguam negara yang masih memegang jawatan daripada dilantik sebagai ahli lembaga pengarah badan berkanun kerajaan, kata seorang bekas peguam negara.

Tan Sri Abu Talib Othman berkata, beliau sendiri merupakan ahli lembaga pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ketika masih menjadi peguam negara.

“Tiada yang menghalang penjawat awam seperti peguam negara dari menganggotai lembaga pengarah sesebuah badan berkanun,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau memberikan jawapan itu sewaktu diminta mengulas mengenai pelantikan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). 
 
Pelantikan itu menimbulkan rasa tidak senang hati rakyat kerana sebelum itu dalam minggu yang sama Apandi mengumumkan kekurangan bukti untuk mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal derma RM2.6 billion pemberian keluarga diraja Arab Saudi dan kes syarikat milik Kementerian Kewangan, SRC International.

Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik menjadi peguam negara pada 28 Julai tahun lepas, menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan atas alasan kesihatan.

Selaku seorang hakim dia sepatutnya bersara pada 10 Februari ini apabila usianya mencecah 66 tahun, usia persaraan wajib sebagai hakim.

Selaku peguam negara, dia mempunyai kontrak selama 3 tahun.

Abu Talib berkata, penjawat awam seperti peguam negara juga boleh dilantik menduduki lembaga pengarah syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham tetapi perlu mendapat persetujuan kerajaan.

Isu pertembungan kepentingan tidak berbangkit, tambah bekas peguam negara itu, dengan syarat peguam tertinggi kerajaan itu tidak terlibat dalam mana-mana proses membuat keputusan yang boleh memberi kesan kepada jawatannya dalam kerajaan dan jawatan lain.

“Ia peraturan yang mudah. Jangan terlibat dalam keputusan yang boleh memberi kesan kepada anda dan kedudukan anda,” kata Abu Talib.

Gani, peguam negara sebelum ini, juga dilantik menjadi ahli lembaga pengarah dalam subsidari milik penuh Kementerian Kewangan, Sarawak Hidro Sdn Bhd.

Beliau yang bersara atas alasan penyakit buah pinggang, memberitahu Malaysiakini, beliau dilantik dalam syarikat itu “lama sebelum penyiasatan 1MDB bermula”.

Pemeriksaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mengesahkan, Gani dilantik pada Oktober 2014.

Menurut laman sesawang syarikat itu, Gani disenaraikan sebagai pengerusi lembaga pengarahnya.


Tiada ulasan: