[ULASAN] Jika
persaingan di antara parti-parti politik pembangkang disandarkan pada
perangkaan dan kesiapsiagaan jentera politiknya, sudah tentu PAS boleh
mendabik dada bahawa ia mempunyai kelebihan.
Sejak “dikuis” keluar daripada Pakatan Rakyat dan tidak menyertai
Pakatan Harapan, PAS telah dua kali membuktikan kejituan pengurusan
jentera pilihanrayanya.
Pertama kali apabila ia melepasi sasaran projek 60K Fastaqimnya di Kota
Baru dan kali kedua PAS membuktikan kehebatan taat setia penyokongnya
pada perhimpunan membantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)
minggu lalu.
Keperkasaan jentera pilihanraya PAS hebat. Ia membayangkan betapa
taatnya penyokong PAS pada arahan pemimpin berbanding pemimpin kanan DAP
dan PKR yang tidak menunjukkan muka pada perhimpunan itu meskipun
lantang berkokok menentang TPPA sebelum itu.
Namun perbandingan fizikal dan luaran ini tidak memberi gambaran
sebenar dalam persoalan kekentalan hubungan di kalangan parti-parti
pembangkang itu.
Curiga, cemburu dan prasangka. Mungkin istilah-istilah ini boleh diguna
untuk menggambarkan apa yang sebenarnya mendasari kerjasama politik di
kalangan parti-parti pembangkang.
Pada permukaannya DAP, PAS, PKR dan PAN mungkin menghebahkan keazaman
bekerjasama demi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional. Namun pada
hakikatnya hubungan jiwa di antara mereka “bak retak menanti belah”.
Sesungguhnya ini amat bertentangan dengan slogan dan perisytiharan
bersama yang sering dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti
Lim Guan Eng, Wan Azizah Wan Ismail, Haji Abdul Hadi Awang dan Mohamad
Sabu.
Namun seperkara yang jelas mereka sepakati ialah kesungguhan untuk
membenam dan menyorokkan rasa curiga yang sering mekar menjadi dendam di
kalangan mereka.
Sememangnya
tidak sukar menghidu dendam kesumat ini. Apabila pakatan mereka berjaya
mengulangi kejayaan merobek monopoli kuasa dua pertiga BN di Dewan
Rakyat pada pilihanraya umum (PRU) PRU 2013, rasa syak dan curiga ini
mulai terbit.
Lazimnya kuasa sering diiringi nafsu. Baik PKR, mahupun DAP dan PAS
mulai melayan angan akan mencapai kejayaan lebih besar – memerintah
seluruh Malaysia pula.
Angan-angan ini memupuk keyakinan bahawa parti masing-masing adalah
lebih kuat, utuh dan perkasa daripada rakan yang lain dan mula berlagak
mampu mendominasi pakatan berkenaan.
Demi melebarkan lagi sayap kuasa masing-masing, maka merekapun
terperangkap dalam perang ego dan tamak untuk menambah kuasa dan
pengaruh.
‘Langkah Kajang’ PKR mula menampakkan kecenderungan parti itu untuk
mendominasi Pakatan Rakyat dengan mengemukakan alasan bahawa strategi
itu ialah untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar
Selangor.
PKR beralasan bahawa pengalaman Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri
Malaysia dan idealisme serta ketrampilannya akan mampu menjadikan
Selangor pusar reformasi yang diidamkan rakyat, jika beliau menerajui
negeri itu.
Bagaimanapun PAS membaca strategi itu sebagai hasrat PKR dan Anwar
menerajui Pakatan Rakyat. PAS keberatan menyokong strategi berkenaan
kerana menyedari ia adalah untuk memenuhi impian PKR sahaja.
Kemelut
Langkah Kajang berakhir dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat
dari PKR. Namun PAS mencelah dengan menamakan Azmin Ali sebagai calon
Menteri Besar dan bukan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Pergeseran PAS-PKR berlanjutan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh
dan juga Rompin. Mujur kerusi Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. PAS
memperlahankan kempen untuk Wan Azizah namun penyokong tegar PKR di
kawasan undi berkenaan berhasil memenangkan presiden PKR itu.
Namun yang nyatanya, sokongan yang diberikan oleh penyokong PKR
terhadap calon PAS dalam PRK Rompin tidaklah begitu menggalakkan jua.
PAS kecundang pada majoriti BN yang menipis.
PKR juga bukan sahaja bermasalah dengan PAS. Ia berulang kali
bersengketa dengan DAP dalam menegakkan pendiriannya. DAP amat kecewa
dengan lima ADUN PKR yang tidak menyokong DAP dalam kes penambakan
laut.
Tindak balas balas PKR apabila disifatkan oleh DAP sebagai
mengkhianati setiakawan politik dalam isu berkenaan ialah dengan “secara
teknikalnya” menggugurkan nama calon DAP, Aziz Bari daripada senarai
ahli Majlis Perbandaran Ampang.
Dalam pada itu dendam kesumat PAS pada pengkhianatan beberapa bekas
pemimpinnya menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) September lalu juga
menjadi “api dalam sekam” di antara kedua-dua parti itu.
Sementara perang DAP-PAS bukan lagi rahsia. DAP bertindak memutuskan
hubungan dengan Presiden PAS dan ini dibalas oleh Dewan Ulama PAS untuk
memfatwakan putus hubungan langsung dengan DAP.
Persaingan menjadi permusuhan. DAP tidak dapat menyembunyikan nafsunya
untuk sentiasa menang. Menjelang pilihanraya negera Sarawak yang
dijangka awal tahun ini, DAP bukan sahaja cuba memperkecilkan saingan
PAS malah mempersoalkan “sumbangan” yang mampu diberikan oleh PKR.
Buat masa ini bayangan pergeseran senyap di antara PAS, PKR dan DAP
boleh diamati di Selangor. DAP berkali-kali mendesak kerajaan pimpinan
PKR supaya menggugurkan wakil PAS dari kerajaan kerana PAS bukan lagi
kerabat Pakatan Harapan yang baru dibentuk.
Namun menilai kehebatan jentera pilihanraya PAS, PKR masih teragak-agak
mahu mentalak PAS di Selangor. Memang sebelum inipun PKR banyak
terhutang budi pada jentera pilihanraya PAS.
Mungkin BN kini agak gawat kerana sebagai pemerintah negara, ia kini
mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu. Bagaimanapun apakah
jaminan bahawa pembangkang boleh bersatu dan berdaya menguruskan
ekonomi lebih baik berbanding BN?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan