HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Januari 2016

Apa lagi selepas ini Najib?




Oleh Amin Iskandar


Ketika ramai merasakan semuanya hampir selesai selepas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan Datuk Seri Najib Razak tidak bersalah dalam kes derma RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd, siasatan Switzerland mendapati AS$4 bilion (RM16.8 bilion) disalah gunakan syarikat Malaysia.

Pihak pendakwa raya Switzerland turut meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia dalam siasatan pencurian besar-besaran daripada sebuah firma dimiliki kerajaan yang ketika ini berdepan skandal rasuah.

Nampaknya sukarlah kita untuk mengikut saranan perdana menteri agar melupakan episod ini dan bergerak ke hadapan apa lagi selepas Malaysia sekali lagi berjaya menjadi tajuk utama berita dunia semalam.

Selepas episod sedih kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjaya menjadikan negara semakin terkenal di peringkat antarabangsa.

Ketika ekonomi negara semakin merudum disebabkan kejatuhan harga minyak global, berita-berita “sebegini” sudah pastinya menyukarkan Malaysia untuk menarik pelaburan asing.

Tetapi tidak mengapalah, oleh kerana Malaysia akan menyertai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) tidak lama lagi, pelaburan asing “sudah pasti akan masuk”.

Dalam kenyataannya, Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata, beliau bimbang dengan keputusan Malaysia menghentikan siasatan terhadap pindahan wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun bank peribadi Najib kerana langkah itu akan menjejaskan siasatan Switzerland terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan yang bermasalah itu.

“Kami sangat bimbang,” kata Lauber dalam kenyataannya.

“Kami sudah menemui bukti menunjukkan pindahan wang yang mencurigakan, berkait dengan 1MDB menerusi institusi kewangan Switzerland, dan kami percaya amat penting ia dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia.”

Kenyataan peguam negara Switzerland itu mengingatkan kita kembali bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang bertanggungjawab membuat laporan di peringkat antarabangsa terhadap 1MDB.

Tahun lalu, Khairuddin disekat untuk ke Amerika Syarikat. Tidak berapa lama selepas itu, beliau ditahan polis dan dituduh cuba menggulingkan kerajaan.

Selepas dibebaskan, Khairuddin ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan tuduhan mensabotaj dan cuba untuk mensabotaj ekonomi negara.

Kemudian peguamnya Matthias Chang pula ditahan mengikut Sosma.

Selepas lebih sebulan ditahan, kedua-duanya dibebaskan selepas mahkamah mendapati mereka tidak melakukan kesalahan membabitkan keselamatan negara.

Hari ini, ternyata usaha dilakukan Khairuddin tidak sia-sia. Pihak berkuasa di peringkat antarabangsa menganggap 1MDB sebagai isu serius dan menyiasatnya dengan teliti.

Cuma yang terkena tempiasnya ialah Malaysia. Kredibiliti negara di peringkat antarabangsa semakin hari semakin tercalar.

Lebih banyak berita buruk mengenai Malaysia disiarkan media antarabangsa, semakin runtuh imej negara yang pada satu ketika dahulu dijadikan sebagai contoh di kalangan negara-negara membangun.

Orang-orang kecil seperti kita hanya mampu bertanya, apa lagi selepas ini Najib?

Tiada ulasan: