KUALA LUMPUR,  Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan, Malaysia sedia bekerjasama dengan mana-mana penguat kuasa undang-undang dalam siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Menurutnya, beliau sedia maklum dengan kenyataan rakan sejawatannya di Switzerland yang meminta Malaysia membantu siasatan berhubung kemungkinan pelanggaran undang-undang oleh syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Jelasnya, beliau akan menunggu dan meneliti hasil siasatan dari Switzerland, sebelum mengambil tindakan lanjut mengikut saluran konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah.

“Berhubung kenyataan terbaru pejabat Peguam Negara Switzerland, pihak saya akan mengambil segala langkah perlu untuk membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan dari Switzerland.

“Kami menunggu untuk meneliti hasil siasatan dan bahan diperoleh mereka menerusi saluran biasa.

“Semua bahan ini akan diteliti, seiring maklumat diperoleh pihak berkuasa berkaitan dan menerusi siasatan kami sendiri, sebelum menentukan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa Switzerland yang menyiasat 1MDB mendapati, kira-kira USD4 bilion (RM16.8 bilion) disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa akaun bank di negara itu oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu.

Menurut pejabat Peguam Negara Switzerland, mereka mendapati ada empat kes salah laku jenayah antara 2009 hingga 2013 yang ‘menggunakan struktur kewangan kompleks’.

Mohamed Apandi turut menegaskan, siasatan kes yang dirujuk Switzerland itu tiada sebarang kaitan dengan isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Siasatan berhubung isu derma kepada Perdana Menteri adalah berbeza dengan siasatan berkaitan 1MDB, walaupun ada laporan media menyatakan sebaliknya.

“Pejabat Peguam Negara mengkaji secara menyeluruh laporan disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seperti diumumkan, tiada bukti salah laku ditemui, manakala kes berkenaan telah diarah ditutup.

“Sebarang percubaan oleh organisasi media untuk mengaitkan kedua-dua siasatan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keselamatan,” tegasnya.