HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 April 2016

85,000 belia disasar peroleh lesen dalam MyLesen Fasa 2

MALAYSIAKINI




Seramai 85,000 belia, khususnya pelajar sekolah di seluruh negara disasarkan mendapatkan lesen motosikal kelas B2 (kapasiti enjin di bawah 250 cc) menerusi Program MyLesen Fasa 2.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata Program MyLesen Fasa 2 adalah kesinambungan daripada Program MyLesen Fasa 1 yang dilancarkan pada 14 September hingga 31 Disember 2015.

"Program MyLesen Fasa 1 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan kira-kira 65,000 belia terutama pelajar sekolah dan kolej yang berumur 16 tahun ke atas di seluruh negara berjaya memperoleh lesen motosikal kelas B2.

"Oleh itu, dalam Program MyLesen Fasa 2 ini, kita sasarkan seramai 85,000 belia sama ada dari kawasan luar bandar atau bandar akan memperoleh lesen berkenaan, sebelum pelancaran Program MyLesen Fasa 3 pada September," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program MyLesen Fasa 2 dan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya, di Kota Kinabalu hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Sabah Mohd Shuhaili Mohd Taufek.

Ismail berkata MyLesen adalah program kerjasama JPJ dengan pusat latihanmemandu di seluruh negara dan yuran yang ditawarkan adalah lebih rendah iaitu RM299 berbanding yuran asal sebanyak RM350.

Beliau berkata MyLesen merupakan program kemasyarakatan yang akan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya belia tentang bahaya menunggang motosikal tanpa lesen dan perlindungan insuran yang sah.

Selain itu, ia juga bagi melahirkan generasi baharu penunggang motosikal yang lebih berhemah serta
membantu belia yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

"Program ini juga selaras dengan sasaran kerajaan mengurangkan kadar kemalangan motosikal melalui peningkatan taraf pengetahuan, kemahiran, sikap mengenai keselamatan jalan raya," katanya.

Katanya sehingga kini, sebanyak 6.7 juta penunggang motosikal di seluruh negara yang berusia 16 tahun ke atas tidak mempunyai lesen.

"Kita percaya separuh daripada jumlah itu mahu memperoleh lesen dan mereka boleh mendapatkan lesen motosikal dengan menyertai pelbagai program yang diperkenalkan kerajaan termasuk MyLesen," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata sebanyak 489,606 kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara pada tahun lepas, meningkat berbanding 476,196 kes kemalangan pada 2014.

"Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan pada 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan kadar kematian di jalan raya adalah lebih 18 orang setiap hari.

"Berdasarkan jumlah kematian itu, sebanyak 60 peratus adalah merupakan pengguna motosikal," katanya.

Ismail berkata berdasarkan statistik itu pihaknya berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati kerana keputusan kajian mendapati kemalangan dan kematian di jalan raya disebabkan sikap pengguna sendiri.
- Bernama


Tiada ulasan: