DAP Sarawak dedahkan kewujudan dua laman sesawang baru yang kononya menyerupai makalah parti itu dengan menyamar untuk menyebarkan pandangan pemimpin parti dalam pelbagai isu.
Makalah itu, diwujudkan atas laman Facebook, adalah Sarawak Rocket Elections Paper dan Sarawak Dark Insider Exposé. Makalah versi Mandarin masih beroperasi sehingga hari ini.
"Kami tidak memiliki makalah sedemikian," jelas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen kepada pemberita selepas membuat laporan polis berhubung perkara itu.
"Catatan dalam makalah itu membuat dakwaan palsu dan memberi gambaran salah kononnya DAP dan saya mahu menghapuskan autonomi imigresen Sarawak.
"Artikel-artikel yang disiarkan menyebut saya mahu membenarkan masyarakat Semenanjung Malaysia untuk datang secara bebas ke Sarawak dan membawa fahaman melampau bersama mereka," jelasnya.
Chong, yang bakal mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Kota Sentosa berkata, pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seharusnya memantau perkara sebegini dan menyekat mereka.
"Ini dibuat oleh orang tidak bertanggung jawab yang takut untuk berdepan secara terbuka berkenaan isu-isu dan dasar. Mereka guna taktik kotor untuk menfitnah kami. Mereka gunakan laman tanpa nama untuk menyebarkan kenyataan salah dan menyebar penipuan tanpa kita mengetahui siapa mereka," katanya, sambil menambah catatan berkenaan telah mengelirukan ahli-ahli parti.
Pihaknya, kata Chong, tidak pernah mempersoalkan hak autonomi imigresen, malah menyokong dan akan mempertahankannya.
Sekurang-kurang, sedozen pemimpin DAP telah dilarang memasuki Sarawak setakat ini selain pimpinan pembangkang dari parti-parti lain dan aktivis dan ahli akademik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan