HALAMAN SANTAI

Khamis, 21 April 2016

Bekas Pengarah Urusan: MAS tak perlukan pakar dari luar

MAS
Gambar hiasan. - Sumber foto internet


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) perlu dikembalikan sebagai syarikat penerbangan kebangsaan seperti 50 tahun lalu yang diterajui rakyat negara ini.

Bekas Pengarah Urusan MAS, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pada awal penubuhannya, MAS dikendalikan warga tempatan meskipun ketika itu negara ini tidak mempunyai pengalaman menguruskan syarikat penerbangan ketika itu.

"Dulu ada ambil orang asing tapi kerja di bawah-bawah sebab kita nak jaga maruah tapi yang ini tiba-tiba mereka melantik Christoph Mueller (sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu MAS).

"Sebab apa? Adakah sebab orang Malaysia kurang pandai? Tapi saya rasa orang ini (pengurusan MAB) tidak faham apa makna dan tugas syarikat penerbangan nasional," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

MAS beroperasi sebagai Malaysia Airlines Berhad (MAB) bermula 1 September lalu melalui pelan penstrukturan semula yang turut menyaksikan pengurangan 6 ribu pekerja dan suntikan modal RM 6 bilion.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan kepakaran Muller namun ada sesuatu yang tidak dimiliki pakar dari luar negara itu.

"Beliau ada roh orang Malaysiakah? Tahu dasar-dasar negara? Ini (MAB) milik kerajaan, tidak perlu ambil orang asing.

"Kini MAS (MAB) bukan lagi syarikat penerbangan nasional kerana sudah kecil. Banyak laluan penerbangan dibatalkan.

"Kembalikan semula kepada syarikat penerbangan nasional yang sebenar yang diuruskan oleh rakyat tempatan," katanya.

Menurutnya, MAS memiliki kepakaran yang hebat dan pengganti Muller perlu dipilih dalam kalangan pengurusan hari ini yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan.

Menyentuh soal keuntungan MAB yang dilaporkan pada Februari lalu, Abdul Aziz berkata, tiada apa yang perlu dibanggakan kerana MAB itu syarikat baharu.

"Siapa pun boleh buat (keuntungan) dengan syarikat baharu. Ambil kakitangan sedia ada yang dibayar gaji lebih rendah, gunakan pesawat yang ada, laluan yang tidak mahu dibatalkan dan kerajaan suntik RM6 bilion.

"Harga minyak turun mendadak, memang boleh untunglah. Dulu kos minyak sahaja 50 peratus tapi sekarang tidak lagi. Jadi, tidak perlu susah hatilah kalau beliau berhenti," katanya.

Muller dilaporkan telah menghantar notis peletakan jawatannya dan disahkan akan berkhidmat sehingga September ini.


Tiada ulasan: