Zulkarnain bersama peguam dan kakitangan Rayani Air dalam sidang media di Sepang, hari ini. Foto Sinar TV: Yusrizal Yusof
SEPANG - Kakitangan syarikat penerbangan patuh syariah pertama negara, Rayani Air menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya pihak pengurusan masih belum menjelaskan bayaran gaji bertarikh 28 Mac lalu.
Pengurus Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Zulkalnain Azlan berkata, pihaknya telah melantik peguam untuk menjalankan prosiding undang-undang sekiranya bayaran gaji masih belum diperoleh sehingga Selasa depan.
"Pihak pengurusan telah menjanjikan beberapa tarikh pembayaran gaji kepada kami.
"Antara tarikh yang dijanjikan oleh pihak pengurusan termasuk 28 Mac, 2 April, 5 April, 7 April, 11 April dan beberapa tarikh lagi, namun sehingga kini kami masih belum memperoleh sebarang jawapan daripada mereka," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Kegagalan Rayani Air melunaskan bayaran gaji kepada kakitangannya menyebabkan sebilangan pekerja syarikat penerbangan itu enggan meneruskan tugas seperti biasa.
Kegagalan tersebut menyebabkan lumpuhnya operasi Rayani Air, selain menyebabkan syarikat penerbangan itu kehilangan pelabur dari luar negara.
Sinar Online cuba menghubungi pengurusan Rayani Air, bagaimanapun panggilan tidak mendapat maklum balas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan