SHAH ALAM - Dua kes saman fitnah yang difailkan oleh Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim enam tahun lalu berhubung lembu korban dan pembelian
kereta Lexus selesai selepas Dr Mohamad Khir Toyo membuat permohonan
maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Dr Mohamad Khir selaku defendan membacakan permohonan maaf itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, M Gunalan.
Dalam permohonan maafnya, Dr Mohamad Khir berkata, sebagai Ketua
Pembangkang Selangor beliau mungkin telah menjejaskan reputasi, imej
serta integriti sewaktu Abdul Khalid memegang jawatan Menteri Besar.
"Saya dengan ikhlas memohon maaf terhadap dua kenyataan yang telah
diterbitkan di The New Straits Times bertajuk "Lexus is my own, says
Khalid" pada 15 Januari 2009 dan di dalam suratkhabar Utusan Malaysia
bertajuk "Lepaskan Jawatan MB" pada 23 Januari tahun sama," katanya.
Beliau juga berjanji tidak akan mengulangi pernyataan fitnah pada masa akan datang.
Abdul Khalid kemudiannya menerima permohonan itu dan menyambut salaman daripada Dr Mohamad Khir.
Terdahulu, peguam plaintif, S N Nair memaklumkan kepada mahkamah bahawa
kedua- dua pihak telah mencapai persetujuan semasa proses mediasi lalu.
"Pihak defendan akan membuat permohonan maaf dan menyelesaikan kes dengan kos," katanya.
Peguam, K Murali yang mewakili Dr Mohamad Khir mengesahkan perkara itu.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu memfailkan kedua- dua saman fitnah
tersebut pada 18 Februari 2009 di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di
sini melalui firma guaman S N Nair & Partners.
Beliau mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak
langsung merujuk kepadanya yang bermaksud tidak jujur, tidak beretika
dan sengaja menyalahgunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan
jawatan awam.
Dr Mohammad Khir didakwa berniat untuk memperkecilkan beliau dalam
kapasiti persendirian dan rasmi, termasuk kapasiti beliau pada ketika
itu sebagai Menteri Besar dan Adun Ijok serta Ahli Parlimen Bandar Tun
Razak.
Dr Mohamad Khir juga didakwa telah secara salah menerima dan
menunjukkan dokumen rasmi rahsia berkaitan dengan andaian salah laku
dalam hal 'lembu korban' tanpa mengesahkan ketepatan fakta yang
berkaitan dan seterusnya membuat tuduhan palsu.
Sehubungan itu, beliau memohon gantirugi pampasan, gantirugi teruk,
gantirugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang Dr Mohamad Khir
daripada terus melafazkan, bercakap atau menulis atau menerbitkan
kenyataan terbabit yang didakwa memfitnah beliau.
Sementara itu, Abdul Khalid ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu
permohonan maaf itu merupakan cara terbaik menyelesaikan masalah.
"Dalam arena politik, kita harus mempunyai standard tinggi agar dipercayai rakyat," katanya.
Menurutnya, beliau bersama Dr Mohamad Khir merancang untuk bersama-
sama ke Parlimen Bandar Tun Razak dan kawasan Ijok serta Pelabuhan Klang
untuk berjumpa dengan rakyat.
"Kami akan bersama-sama menerangkan perkara tersebut," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan