Dakwaan pembangkang baru-baru ini yang kononnya Johor Corporation (JCorp) tidak mampu membayar hutang ekoran nisbah hutang yang tinggi adalah salah dan tidak benar, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau, yang juga pengerusi JCorp berkata pembangkang gagal mengambil kira perkara terbabit secara konslusif dan prestasi sebenar kewangan JCorp secara keseluruhan.
"Dan penting untuk saya tegaskan bahawa sejak 2012 sehingga kini, JCorp sentiasa berjaya memastikan sebarang obligasi hutangnya dipatuhi dengan baik mengikut jadual yang ditetapkan," katanya di sesi penggulungan pada hari terakhir Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor yang ke-13 semalam.
Mohamed Khaled berkata nisbah hutang atau liabiliti semasa JCorp yang dikatakan mencecah 77 peratus berbanding aset semasa ketika ini adalah bukan petunjuk terbaik bagi menilai prestasi dan kedudukan kewangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.
"Ini kerana nisbah itu tidak mengambil kira kedudukan aset bukan semasa JCorp yang keseluruhannya mencecah RM5.8 bilion," katanya.
"Jika jumlah aset keseluruhan ini diambil kira, maka pastilah bacaan nisbah hutang atau liabiliti ke atas aset keseluruhan JCorp akan menjadi positif, malah ia akan mencatatkan lebihan jumlah aset bersih sebanyak RM1.52 bilion dan jumlah ini pun masih belum lagi mengambil kira harga pasaran pelaburan-pelaburan JCorp dalam anak syarikat yang tersenarai seperti Kulim dan KPJ Healthcare Bhd," katanya.
Menjawab dakwaan lain berhubung JCorp gagal memberi balik pulangan kepada kerajaan negeri mengikut Pekeliling Perbendaharaan, Mohamed Khaled menyifatkan ia sebagai satu lagi tuduhan melulu.
Beliau berkata pulangan yang diberikan kepada kerajaan negeri selama ini bukan sahaja dalam bentuk kewangan malah turut merangkumi pelbagai bayaran lain yang dilaksanakan bukan secara tunai.
"Ini termasuk membantu pengoperasian klinik dan hospital Waqaf An-Nur yang sehingga kini telah merawat 1.1 juta orang tanpa mengira bangsa dan agama dengan rangkaian sebanyak 22 klinik wakaf di seluruh negara dan sebuah hospital Wakaf An-Nur di Pasir Gudang," katanya.
Selain itu, katanya, JCorp juga mewujudkan sehingga 184,000 peluang pekerjaan sehingga 2014, membina sebanyak 12,758 unit rumah mampu milik dan membantu membina dan menyelenggara sehingga enam buah masjid termasuk yang terbaru, Masjid Sultan Iskandar di Bandar Dato Onn bernilai RM28 juta.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu, jika semua ini diambil kira JCorp secara keseluruhannya telah memulangkan sebanyak RM84.8 juta kepada kerajaan negeri dalam bentuk dividen tunai dan RM630 juta dalam bentuk pulangan bukan tunai, menjadikannya jumlah keseluruhannya adalah RM714.8 juta.
"... dan jika dibandingkan jumlah sumbangan ini dengan RM284.5 juta yang dinyatakan pembangkang, JCorp sebenarnya sudah terlebih membayar kepada kerajaan negeri sehingga RM430.3 juta, jauh melepasi jumlah yang sepatutnya.
"Jadi, apabila kita ingin menilai sumbangan JCorp atau mana-mana GLC, kita mestilah bersikap adil dengan mengambil kira kedua-dua bentuk pulangan tunai dan bukan tunai yang diberikan," katanya.
Baru-baru ini, pembangkang mengeluarkan kenyataan bahawa nisbah hutang atau liabiti semasa berbanding aset semasa Jcorp adalah tinggi mencecah 77 peratus telah mengambarkan ketidakupayaannya membayar hutang.
Selain itu, pembangkang turut mendakwa JCorp kononnya gagal memberi balik pulangan kepada kerajaan negeri mengikut Pekeliling Perbendaharaan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan