HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 April 2016

Umno akan selesai isu MB Terengganu

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Pucuk pimpinan Umno akan menentukan kedudukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berikutan desas-desus yang mengatakan pihak Istana Terengganu menarik balik darjah kebesaran beliau. 
 
Memetik sumber Utusan Malaysia, isu berkenaan lebih sukar berbanding krisis yang dialami oleh ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said kerana ia dikatakan mempunyai kaitan dengan pihak Istana Terengganu.
 
“Berdasarkan perkembangan terkini, pucuk pimpinan parti mempunyai pilihan sama ada berunding dengan pihak Istana atau menggantikan Ahmad Razif,” katanya lapor Utusan Malaysia.
 
Isu mengenai penarikan gelaran dan kedudukan Ahmad Razif mula tersebar di media sosial sejak semalam apabila beliau yang menghadiri dua majlis di Kampung Sura Jetty, Dungun dan pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Al Muktafi Billah Shah, tidak disebut gelaran oleh pengerusi majlis berkenaan.
 
Selain itu, ketika menghadiri Persidangan Waqaf Senusantara 2016 yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Resort, nama Ahmad Razif hanya disebut “Yang Amat berhormat Menteri Besar”.
 
Malah, kedudukan Ahmad Razif sebagai Menteri Besar menjadi persoalan apabila pihak istana dikatakan menarik balik semua gelaran kebesaran yang dianugerahkan kepada beliau.
 
Namun, sehingga kini tiada pengesahan daripada pihak istana berhubung tindakan tersebut, namun ia dikaitkan dengan ucapan beliau ketika menghadiri satu majlis bersama Sultan Mizan.
 
 

Tiada ulasan: