HALAMAN SANTAI

Sabtu, 23 April 2016

Waspada reptilia berbisa berkeliaran





DETIK DAILY


KES murid, Nuriey Nadirah Ruslan, 7, yang maut dipatuk ular ketika bermain di taman mini Sekolah Kebangsaan Dato’ Hashim (1), Pengkalan Chepa, Kelantan, ketika waktu rehat baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengabaikan soal keselamatan

Walaupun prosedur keselamatan standard telah ada dan pihak sekolah sudah memastikan kawasan persekitaran tempat belajar sentiasa bersih tetapi tragedi tetap berlaku akibat faktor luar jangka.

Dalam kes ini, faktor luar jangka ialah fenomena El Nino yang menyebabkan suhu panas melampau sehingga reptilia berbisa yang berdarah sejuk terpaksa keluar dari sarang.

Baru-baru ini, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ada mendedahkan bahawa panggilan kecemasan mengenai kes ular memasuki kediaman meningkat dua kali ganda sepanjang tempoh fenomena El Nino dari Disember hingga Mac lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Antara tempat yang sering dilaporkan menjadi tempat perlindungan reptilia berkenaan ialah lubang tandas. Oleh itu, murid perlu diajar untuk menyiram lubang berkenaan terlebih dahulu sebelum duduk bagi mengelak mereka menjadi mangsa patukan haiwan terbabit.

Murid juga perlu diberi peringatan ketika cuaca panas supaya mengambil langkah lebih berwaspada bagi mengesan kehadiran reptilia tersebut yang dikhuatiri masuk ke dalam kelas, taman bunga atau bersembunyi di bawah meja dan kerusi di kantin sekolah.

Mereka juga harus diajar supaya tidak panik kerana hanya 18 daripada 140 spesies ular di Malaysia yang berbisa. Murid tidak boleh memperlihatkan aksi-aksi provokasi yang boleh menyebabkan ular bertindak mematuk mangsa kerana mahu menyelamatkan diri.

Walaupun anak-anak kecil sentiasa mempunyai sifat ingin tahu tetapi apabila berhadapan dengan reptilia berbisa mereka harus diingatkan supaya tidak bertindak terlalu berani sehingga membahayakan nyawa sendiri.

Jika ternampak ular, murid perlu segera memaklumkan guru atau kakitangan sekolah yang kemudiannya menghubungi pihak bomba atau JPAM yang akan menangkap haiwan terbabit.

Murid juga harus diajar untuk melihat pergerakan ular tersebut dari jauh bagi membolehkan mereka menunjukkan kedudukan sebenar ular tersebut kepada anggota bomba atau JPAM.

Bagi mengelakkan ular cuba masuk ke dalam kelas dan tandas, serbuk belerang harus ditaburkan di sekitar kawasan berkenaan selain menutup semua lubang seperti lubang paip air dengan menggunakan jaring.

Apabila dipatuk, pihak sekolah perlu segera merakam gambar ular itu menggunakan telefon bimbit kerana mengenal pasti jenis ular dapat membantu doktor memberi ubat antibisa yang betul.

Satu lagi adalah mengenai perlunya semua klinik menyimpan bekalan ubat antibisa patukan ular. Dalam kes Nuriey Nadirah, dia telah dibawa ke Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa oleh gurunya dengan keadaan betisnya berdarah untuk mendapatkan rawatan bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia.

Sepatutnya dia perlu segera dibawa ke hospital kerana ubat penawar bisa kebiasaannya tidak disimpan oleh klinik.

Selain itu, semua pihak juga perlu mengadakan solat sunat memohon hujan kerana berdasarkan rekod JPAM, kes reptilia berbisa masuk ke dalam bangunan akan berkurangan apabila tibanya musim hujan.
 
 

Tiada ulasan: