KUALA LUMPUR: Pembangkang sebagai pihak yang kalah dalam pilihan raya
tidak perlu berselindung di sebalik sebuah badan bukan kerajaan (NGO)
untuk menentang kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil menyelar pembangkang
berkata, pihak tersebut berhak untuk mengkritik kerajaan tetapi
hendaklah menggunakan saluran yang betul.
"Namun di Malaysia, keadaan berbeza. Parti pembangkang di negara ini
mempergunakan sebuah NGO yang kononnya tidak memihak kepada mana-mana
parti politik dan memerangi rasuah, untuk menekan kerajaan melalui
perhimpunan," katanya.
Najib berkata demikian dalam ucapan bertajuk 'Sandiwara Perhimpunan
Pembangkang' yang dimuat naik di laman www.najibrazak.com hari ini.
Beliau berkata rakyat sedia maklum bahawa NGO itu sebenarnya merupakan
boneka pembangkang, memandangkan hampir kesemua perhimpunan yang telah
dan akan diadakan diketuai pemimpin pembangkang.
"Pada perhimpunan kedua, mereka mengganas di Kuala Lumpur hingga
menterbalikkan kereta polis. Perhimpunan ketiga pula, mereka mendengar
arahan ketuanya merempuh halangan polis sehingga menimbulkan kekecohan.
"Pada edisi keempat pula, mereka bersorak untuk menjatuhkan parti
pemerintah, tetapi memanggil diri mereka non-partisan. Akhir sekali pada
perhimpunan kali kelima ini pula, mereka menjunjung pemimpin
pembangkang yang sudah didakwa melakukan rasuah, padahal mereka kata
mahu memerangi rasuah.
"Tidakkah sudah terang lagi bersuluh, bahawa perjuangan mereka adalah
palsu dan perhimpunan ini hanyalah gerakan parti pembangkang yang
berselindung sebagai NGO non-partisan untuk menentang kerajaan yang
dipilih rakyat?," kata Najib.
Menurut Perdana Menteri, majoriti rakyat sudah lali dengan taktik yang
digunakan pembangkang, dan mereka hanya mahukan khidmat bakti daripada
kerajaan.
"Itulah yang saya dan pasukan saya akan terus lakukan," katanya.
Esok, pembangkang akan menyertai Himpunan BERSIH 5 anjuran NGO BERSIH
2.0 bagi mendesak pengunduran Najib, reformasi dalam sistem kerajaan
serta pilihan raya yang adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan