shahbudindotcom
Tiga
hari sahaja lagi menuju perhimpunan BERSIH yang kelima dalam sejarah
panjang perjuangan menuntut pilihan raya yang adil, penambahbaikan
institusi dan usaha memperbaiki negara yang sudah lama rosak.
Masuk
kali kelima rakyat Malaysia bakal berhimpun Sabtu ini untuk mendesak
perubahan melalui jalan yang dibenarkan dalam undang-undang, dengan
membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa negara tidak boleh ditadbir
pencuri, perompak dan penyamun.
Perhimpunan
Sabtu ini bukanlah perhimpunan yang menjanjikan huru-hara dan boleh
menggulingkan kerajaan dalam masa yang begitu singkat.
Ia bertujuan mendidik dan menyampaikan mesej perubahan kepada seluruh pelosok negara.
Itu
sebabnya kenapa kita adakan konvoi menelusuri segenap ceruk kampung dan
pekan, agar rakyat Malaysia tahu dan tidak terus tertipu.
Perhimpunan Sabtu ini bukanlah seperti sebuah perlawanan bola sepak antara pasukan merah melawan pasukan kuning.
Samseng-samseng
Umno memang dijangka akan menimbulkan kekacauan dan mengganggu
perjalanan perhimpunan BERSIH, namun sebenarnya mereka sendiri pun tidak
tahu apa yang mereka perjuangkan.
Ketua mereka, Datuk Seri Jamal Yunos, tempoh hari telah terbukti tidaklah kebal pun sebenarnya.
Kita
telah melihat bagaimana beliau meronta-ronta dan menjerit-jerit mahu
melarikan diri dari kekecohan yang berlaku di Ampang. Seluruh negara
telah ketawa melihat gelagat Jamal dan juak-juaknya.
Namun
Jamal bukan musuh kita. Kita tidak turun ke jalan raya untuk melawan
Jamal dan samseng-samseng Umno ini. Kita bukannya berhimpun untuk
menunjukkan kekuatan atau bertanding siapa lebih ramai.
Kita turun ke jalan raya kerana berdiam diri berhadapan rasuah dan salah guna kuasa bukan lagi satu pilihan.
Kita
berhimpun kerana kita punya hak untuk membantah rasuah dan salah guna
kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal mega yang
telah memberi gelaran ‘kleptokrasi’ kepada negara.
Jamal
hanya menjadi galang ganti agar kita lupa dan tidak memberi tumpuan
kepada musuh nombor satu rakyat Malaysia masa kini iaitu tidak lain
perdana menteri sendiri.
Kita harus terus
memberi fokus kepada skandal mega melibatkan Najib Razak, dan memberi
fokus kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang tidak lain hanya mahukan
sebuah Malaysia yang lebih baik untuk generasi anak cucu.
Kita
berhimpun Sabtu ini untuk sebuah ‘Malaysia Baru’. Kita tidak perlu
takut untuk menuntut perubahan, untuk memperbaiki negara yang kian
rosak.
Kita tidak perlu takut dengan Jamal dan
samseng-samsengnya. Kita pasti pihak polis akan memastikan keamanan dan
keteraturan perhimpunan BERSIH buat kali kelima ini.
Tahun
lalu kita telah menyaksikan bagaimana pihak polis begitu cekap sekali
memastikan keamanan protes selama 34 jam, yang kumpulan samseng Baju
Merah yang diberi makan oleh Umno ini hanya muncul pada saat-saat akhir.
Kita
justeru berharap pihak polis akan bersiap sedia untuk berdepan
provokasi jahat oleh juak-juak Jamal yang akan terus cuba mengalihkan
fokus perhimpunan BERSIH daripada tujuan-tujuan yang telah kita
nyatakan.
Sabtu ini saya harap rakyat Malaysia
akan membuang jauh rasa takut dan resah mereka, dan turun beramai-ramai
bagi menuntut sebuah Malaysia yang lebih baik.
Turun beramai-ramai. Satukan Tenaga. Malaysia Baru.
MARIA CHIN ABDULLAH
Pengerusi BERSIH 2.0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan