HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 November 2016

Selangor bantu peminjam PTPTN disenarai hitam CCRIS beli rumah

ANTARAPOS.COM


Post Pic




SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor cuba melonggarkan syarat pinjaman perumahan bagi membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disenarai hitamkan dalam pemilikan rumah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Bank Rakyat bersetuju meluluskan permohonan pinjaman perumahan peminjam PTPTN yang membayar tunggakan pinjaman mereka.

“Ini antara usaha kerajaan negeri membantu rakyat Selangor dalam memiliki rumah, terutama dalam kalangan belia.

“Saya mempunyai hubungan baik dengan ketua pegawai operasi Perbadanan PRIMA Malaysia dan mereka mensyaratkan setiap program PRIMA disertai PTPTN agar pemohon dapat membuat semakan segera, selain berbincang bagi menyelesaikan masalah.

“Jadi, kita buat perkara sama memohon pemaju membawa PTPTN pada hari terbuka untuk semakan pemohon,” katanya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Katanya menjawab soalan Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan yang ingin tahu langkah kerajaan negeri membantu lebih 70% peminjam PTPTN gagal mendapat pinjaman perumahan akibat disenarai hitam Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat (CCRIS).

Menurut laporan media, seramai 1.3 juta peminjam PTPTN mungkin gagal mendapat pinjaman bank atau memohon sebarang kemudahan kredit daripada institusi kewangan selepas disenarai hitamkan CCRIS.

Ini kerana, mereka tidak membayar pinjaman pendidikan menyebabkan mereka dikategorikan sebagai “pembayar hutang teruk”.

CCRIS adalah pangkalan data yang digunakan institusi kewangan untuk menilai pemohon pinjaman.




Tiada ulasan: