SRC International tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan mereka dalam Bank BSI kerana ia dibekukan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pembekuan itu disebabkan bank milik
Switzerland itu masih dalam siasatan yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SRC International adalah syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan.
"Wang pelaburan SRC yang dilaburkan disimpan di Bank BSI, disebabkan BSI masih dalam siasatan, saya telah diberitahu oleh pengurusan SRC wang mereka masih di bank tersebut. Ia dibekukan setakat ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pasaran Modal di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana SRC mahu membayar dividen kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).
SRC International meminjam RM4 bilion daripada tabung itu dan mempunyai komitmen untuk membayar faedah tahunan sebanyak RM164 juta kepada KWAP.
Entiti milik Kementerian Kewangan itu sebelum ini dilaporkan perlu membayar pinjaman asas kira-kira RM660 juta pada tahun depan.
Bagaimanapun, Johari berkata, KWAP akan membayar faedah itu. BSI yang diarah tutup operasinya di Singapura kini menghadapi prosiding mahkamah kerana kegagalan mematuhi peraturan anti pengubahan wang haram dalam transaksi berkaitan 1MDB. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan