HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Disember 2016

PKR masih sayang PAS - Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) terpaksa mengakui bahawa mereka sememangnya mengharapkan PAS dalam mendapatkan sokongan dan pengaruh pengundi yang kebanyakannya daripada parti itu dalam mengukuhkan pembangkang.
 
Seorang penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpendapat, disebabkan faktor inilah PH terutamanya PKR masih sukar untuk melepaskan PAS, walaupun ditentang keras oleh Amanah dan DAP.
 
"Sebenarnya dalam pemikiran Pakatan Harapan sendiri, PAS mempunyai aset besar kepada mereka. Keluarnya PAS bermaksud kehilangan aset utama iaitu aset kempen mereka.
 
"Inilah yang menjadi keraguan kepada kepimpinan dalam PH itu sendiri dimana DAP memang tolak terus PAS, tapi PKR, dalam hati mereka masih sayang PAS. 
 
"Kerana mereka percaya PAS ada sumbangan besar kepada Pakatan terutama untuk mengalahkan BN," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos, baru-baru ini, mengulas mengenai hala tuju tahaluf siyasi PAS-PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Beliau merujuk kepada beberapa penegasan yang pernah disuarakan oleh kepimpinan tertinggi PKR iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Azmin Ali sendiri sebelum ini. 
 
PKR pada September tahun lalu, menyertai DAP dan Amanah menubuhkan PH, bertujuan menggantikan Pakatan Rakyat (PR) demi menghadapi PRU14 akan datang.
 
Walaupun PAS tidak menyertai PH, Wan Azizah selaku Ketua Pembangkang berkata beliau masih mengharapkan kerjasama daripada semua parti pembangkang termasuk PAS untuk bersama-sama bagi menentang Barisan Nasional (BN).
 
Malah PH pada 13 Disember lalu melangkah lagi ke satu fasa apabila mengikat perjanjian politik bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bertujuan meletakkan satu calon mewakili gandingan itu untuk menentang BN pada PRU14. Ia sekali lagi dilakukan tanpa penglibatan PAS.
 
Meskipun begitu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang dilaporkan Antarapos baru-baru ini berkata, tahaluf siyasi antara PAS-PKR tetap berjalan seperti biasa, sekurang-kurangnya sehingga ke PRU14 akan datang. 
 
Tetapi Samsul melihat kerjasama antara PAS-PKR ini ibarat 'telur dihujung tanduk' yang mungkin boleh putus pada bila-bila masa, namun beliau percaya jika hubungan itu mampu diselamatkan pembangkang mungkin akan terus kuat. 
 
"Sebenarnya hubungan PAS dan PKR ini masih lagi mempunyai tali halus, ia mungkin boleh putus, tapi mungkin juga boleh diperkasakan tali itu dan mereka boleh bekerjasama dalam bentuk yang lebih strategik pada masa depan terutama dalam membentuk kerajaan persekutuan. 
 
"Itu dari satu aspek kalau mereka dapat urus konflik sedia ada ini dan mencipta persefahaman.  
 
"Walau bagaimanapun dari segi strategi, kita tak boleh menafikan kemungkinan PAS u-turn kepada Pakatan Harapan itu ada, kerana kita tak tahu bagaimana strategi peringkat induk mereka yang sedang berlaku," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: